Prof Dr Mohd Faiz Abdullah. Foto SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

UNISEL lahir 16 graduan perintis sarjana SBS

BESTARI JAYA, 30 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali meraikan graduan kumpulan pertama program Selangor Business School (SBS) pada Istiadat Konvokesyen ke-14 universiti itu yang membuka tirai hari ini.

Seramai 16 graduan jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) layak menyertai sidang pertama istiadat berkenaan selepas berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Dekan SBS, Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, pengambilan pertama bagi program yang dimulakan sejak tiga tahun lalu itu berjalan lancar dalam semua aspek, terutama membabitkan pengenalan kursus baharu kepada mahasiswa.

“Perkara pertama yang kita mahu pastikan di SBS adalah (graduan) sudah bekerja untuk mengembangkan potensi pekerjaan mereka, selain menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil kelebihan yang ada pada program ini.

“Program ini sudah tentu memberi nilai tambah kepada mereka yang sudah bekerjaya untuk memudahkan mereka berkembang maju dan mendapat lebih banyak pengalaman dalam dunia korporat serta pentadbiran awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Faiz berkata, pengenalan program MBA kepada mahasiswa adalah sebahagian daripada langkah ke hadapan Kerajaan Negeri dalam meniti era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Ia salah satu rancangan kesinambungan dalam membekalkan modal insan bukan sahaja kepada tenaga intelektual, malahan yang akan menyumbang kepada pembangunan Selangor.

“Ini kerana, mereka (graduan) sebenarnya akan menyumbang harapan secara berterusan terhadap semua pelan dalam menjadikan Selangor sebagai bandar pintar serantau.

“Selain menawarkan program yang relevan dengan perubahan ekonomi dan industri dalam negeri, visi kita adalah untuk menyediakan Program Khas ‘Brain Bank’ (tabung kumpulan wang biasiswa),” katanya.

Sementara itu, graduan, Nini Shazrina Ahmad Shamli, 44, berkata, beliau menghargai peluang diberikan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan, meskipun perlu berdepan kekangan mengimbangi urusan kerja dan keluarga.

Nini Shazrina Ahmad Shamli

Katanya, komitmen kerja yang tinggi memerlukannya untuk meningkatkan potensi diri bagi mendapat peluang memegang jawatan tinggi dalam organisasi.

“Kami menghargai peluang yang diberikan dan kami sangat gembira ketika menyelesaikan pengajian dalam program ini. Jadi, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas peluang ini,” kata kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Nada sama dilontarkan, Alhadi Harun, 35, yang menyifatkan program SBS adalah medium tepat bagi mereka yang berminat untuk mempelajari secara lebih mendalam berhubung ilmu pentadbiran perniagaan.

“Saya percaya SBS mampu membuka peluang besar untuk kita mengembangkan diri sebagai seorang pentadbir perniagaan yang professional,” kata graduan itu yang juga Penolong Pengurus Besar, Bukit Beruntung Golf Club.


Pengarang :