Rodziah Ismail menyerahkan cek kepada peserta usahawan pada Perasmian Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) 2019 Daerah Hulu Langat di Bangi Gateway Shopping Mall. 3 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Unit Kaunseling Usahawan bakal dibuka di Bangi

BANGI, 3 NOV: Unit Kaunseling Usahawan bakal dibuka bagi membantu ahli peniagaan di Selangor khususnya dalam menguruskan hutang dan melancarkan lagi bisnes mereka.

EXCO Jawatankuasa Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, unit itu akan dibuka di pejabatnya di tingkat dua Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Katanya, unit berkenaan akan dibuka pada awal Disember ini dan pihaknya mengalu-alukan usahawan di Selangor untuk hadir bagi mendapatkan sesi kaunseling.

Rodziah Ismail bergambar bersama peserta usahawan yang merima cek pada Perasmian Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) 2019 Daerah Hulu Langat di Bangi Gateway Shopping Mall pada 3 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita buka unit ini bertujuan memberi bimbingan kerana kadangkala ada dalam kalangan usahawan atau peniaga kecil tidak tahu ada pemudah cara yang boleh memberi nasihat.

“Selain mereka boleh berkunjung ke pejabat saya, kita juga akan turun padang terutama di karnival atau mini ekspo MEXUS dan mereka boleh hadir untuk mendapatkan sesi kaunseling di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mini Expo Usahawan Selangor (MEXUS) 2019 Daerah Hulu Langat di Bangi Gateway Shopping Mall, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, pihaknya juga bercadang akan membuka khidmat itu secara atas talian bagi memberi kemudahan kepada usahawan yang menghadapi kesulitan untuk datang ke Bangi.

Menariknya, beliau berkata, sesi kaunseling itu ditawarkan secara percuma kerana Kerajaan Negeri komited untuk membantu usahawan di negeri ini.

“Mengulas berkenaan syarat pula kita lebih memfokuskan kepada usahawan yang modal berbayar RM300,000 dan ke bawah serta mempunyai sekurang-kurangnya lima pekerja dalam satu-satu masa,” katanya.


Pengarang :