Dr Maszlee Malik. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Usaha pulihkan negara, tidak adil salahkan PAKATAN

PONTIAN, 9 NOV: Tidak wajar kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), yang tidak sampai dua tahun dibentuk, dipersalahkan atas masalah dihadapi rakyat, pada ketika kerajaan sedang berusaha memulihkan masalah negara.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kerajaan PAKATAN yang tidak sampai dua tahun perlu memperbaiki kelemahan ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Rakyat perlu bersabar, kalau tak puas hati (dengan prestasi PAKATAN) yang kurang dua tahun ini, bayangkan nak pulihkan peninggalan BN yang 60 tahun…kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa. Tidak adil nak hukum PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama masyarakat Tionghua di Kukup dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab khabar angin bahawa pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai enggan memberi sokongan kepada PAKATAN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan.

“Namun saya yakin pengundi di Tanjung Piai boleh fikir matang buat keputusan memilih pemimpin. Kita (PAKATAN) ‘bersih’ (telus) dan beri komitmen jadikan Malaysia sebagai Asian Tiger,” katanya.

Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menegaskan pemimpin daripada PAKATAN termasuk calon bagi PRK itu, Karmaine Sardini amat berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini, susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PAKATAN pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berdepan saingan lima penjuru menentang Barisan Nasional (BN), Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas.

-BERNAMA


Pengarang :