Dato’ Mohd Azizi Mohd bergambar bersama sebahagian produk jualan peserta PROTUNe dalam Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) ke-21 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berlangsung di De Palma Hotel, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Usahawan muda PROTUNe catat rekod jualan RM2.7 juta

SHAH ALAM, 7 NOV: Usahawan muda Program Tunas Niaga (PROTUNe) di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kini berjaya meraih rekod jualan sebanyak RM2.7 juta sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, angka itu memberikan keuntungan besar kepada usahawan dari 50 sekolah terpilih sekitar Selangor yang berjaya mencatat rekod keuntungan sejumlah RM700,000.

Katanya, angka itu menunjukkan peningkatan hampir lima peratus iaitu RM30,000 berbanding tahun lalu dan ia kejayaan besar buat PROTUNe sejak 21 tahun ditubuhkan.

“Ini adalah satu kejayaan besar buat usahawan muda PROTUNe, tahniah saya ucapkan dan semoga ia terus menjadi inspirasi buat anda semua untuk terus menceburkan diri dalam bidang keusahawanan selepas habis belajar kelak.

“Di PROTUNe kita turut memberi peluang kepada peserta mengikuti bengkel dan seminar berkaitan perjalanan syarikat, latihan keusahawanan dan cara memasarkan produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvensyen PROTUNe kali ke-21 di Hotel De Palma Shah Alam, di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, Konvensyen PROTUNe adalah bukti PKNS terus komited dalam melahirkan generasi usahawan muda sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk merancakkan lagi ekonomi menerusi kluster keusahawanan.

Katanya, PKNS menerima peningkatan penyertaan pada tahun ini dengan sejumlah 1,250 peserta terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima dan 100 guru bimbingan.

“Sejak 20 tahun lalu, program PROTUNe berjaya menghasilkan 24,325 usahawan muda dengan 975 syarikat didaftarkan sebagai Sendirian Berhad (Sdn Bhd) melalui inisiatif ini,” katanya.


Pengarang :