AGENDASUKANKINI

Vinales gagal dicabar untuk rangkul MotoGP Malaysia

SEPANG, 3 NOV: Pelumba Yamaha, Maverick Vinales memperagakan tunggangan sempurna untuk menjuarai kelas MotoGP pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari sini.

Pelumba Sepanyol berusia 24 tahun itu, yang memulakan saingan di petak kedua, mendominasi perlumbaan dengan mencatatkan masa 40 minit 14.632 saat (s) bagi menghadiahkan kemenangan pertama kepada Yamaha di Sepang sejak 2010.

Juara dunia dari Repsol Honda, Marc Marquez menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 40:17.691s manakala pelumba Itali, Andrea Dovizioso (Ducati) menghuni tempat ketiga dengan ketinggalan 5.611s.

“Ia adalah perlumbaan yang menakjubkan hari ini…kami bertambah baik hari demi hari. Saya amat menikmati saingan hari ini,” kata Vinales yang menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 201 mata sebelum mengakhiri musim di Valencia, Sepanyol, 17 November ini.

Pemenang petak utama, Fabio Quartararo dari pasukan Petronas Yamaha SRT, menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh manakala rakan sepasukan Franco Morbidelli di tempat keenam.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah daripada pasukan Red Bull KTM Tech 3, di tempat ke-16.

– BERNAMA


Pengarang :