Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Wakil Jabatan Audit mengaku rakam mesyuarat ‘Pinda Laporan Audit 1MDB’

ccsb-ads

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Seorang saksi hari ini mengakui bahawa beliau yang membuat rakaman audio berdurasi dua jam 45 minit pada mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Februari 2016.

Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensil milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, wakil JAN tanpa pengetahuannya ( Saadatul Nafisah) sebelum mesyuarat bermula.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata, beliau berbuat demikian sebagai persediaan untuk membuat minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan kerana beliau tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat itu.

“Saya dilantik sebagai koordinator penyediaan laporan audit 1MDB. Disebabkan itu saya perlu mengetahui apa yang dibincangkan dalam mesyuarat terbabit kerana saya tidak boleh menyertainya (mesyuarat).

“Saadatul Nafisah tidak tahu yang saya menyimpan perakam dalam bekas pensil miliknya. Selepas mesyuarat habis, saya ambil perakam itu daripada bekas pensilnya sebelum membawanya ke pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram di hari keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Ditanya Sri Ram perakam suara itu milik siapa, Nor Salwani berkata, ianya hak milik JAN.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata, beliau tidak sempat memberitahu Saadatul Nafisah mengenai tindakannya meletakkan perakam tersebut ke dalam bekas pensil serta tidak berniat untuk menyorok perakam itu.

“Apabila saya diarah keluar dalam keadaan tergesa-gesa sebelum mesyuarat itu bermula, saya nampak bekas pensil di atas meja dan saya terus masukkan perakam ke dalamnya,” katanya.

Muhammad Shafee: Takkan kamu tidak ada etika untuk memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) bahawa kamu sebagai wakil audit kena meletakkan alat perakam untuk tujuan mencatit minit?

Nor Salwani: Ketika itu, saya dalam keadaan kekalutan..saya tidak berpeluang untuk menyatakan demikian.

Semalam, rakaman audio mesyuarat itu yang dikaitkan dengan dakwaan meminda laporan akhir pengauditan 1MDB yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan.

– BERNAMA


Pengarang :