AGENDANASIONAL

Wanita KEADILAN kekalkan konvensyen, tradisi sejak ditubuhkan

SHAH ALAM, 15 NOV: Wanita KEADILAN terus mengekalkan tradisi Timbalan Presiden merasmikan setiap kali kongres sayap parti itu dilangsungkan sejak ia ditubuhkan 20 tahun lalu.

Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Mohamed Talha berkata, tradisi itu sudah berakar umbi sehingga menjadi satu konvensyen kedua-dua sayap parti termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK).

“Selama 20 tahun ini, sudah tentu tetamu merasmikan kongres wanita dan AMK adalah Timbalan Presiden tanpa mengira siapa pun pemegang jawatan itu.

“Walaupun memang tidak termaktub dalam perlembagaan tetapi ianya menjadi konvensyen, maknanya ia menjadi tradisi oleh kedua-dua sayap, pemuda dan wanita sejak kali pertama diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pembukaan Ekspo Hartanah & Perumahan Malaysia (MAPEX) Shah Alam/Klang di Central – I City Mall di sini, hari ini.

Haniza berkata, konvensyen terbabit memainkan peranan besar dalam menyatupadukan anggota dan kedua-dua sayap parti itu dengan hala tuju yang sama.

Bagaimanapun katanya, konvensyen itu dilanggar buat pertama kali apabila Timbalan Presiden tidak merasmikan kongres Angkatan Muda Keadilan tahun ini.

Dalam pada itu, Haniza memberitahu Wanita KEADILAN akan melancarkan logo baharu pada 16 November ini.


Pengarang :