AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Warga asing dicaj RM1 naik Bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan caj bayaran perkhidmatan Bas Smart Selangor sebanyak RM1 kepada warga asing yang menaiki bas berkenaan.

Manakala, bagi warganegara Malaysia, perkhidmatan bas itu kekal percuma.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Smart Selangor Delivery Unit akan menyediakan sistem ‘Tap To Ride’ pada semua Bas Smart Selangor bagi membolehkan warganegara menggunakan Kad
Pengenalan untuk menaiki bas itu.

Katanya, kutipan bayaran caj perkhidmatan daripada warga asing itu akan digunakan untuk menyelenggara serta menambah jumlah bas bagi laluan Bas Smart Selangor.

“Bas Smart Selangor kini mempunyai 41 laluan di 11 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan 130 bas mendapat sokongan padu dalam kalangan rakyat.

“Jumlah penumpang bagi tempoh sehingga 31 Ogos tahun ini adalah sebanyak 38 juta. Kerajaan Negeri memberi jaminan serta komitmen untuk mengekalkan kelangsungan perkhidmatan ini dengan peruntukan RM30 juta pada tahun 2020,” katanya pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020.

Pada masa sama, Amirudin berkata, PBT juga perlu mengambil pendekatan untuk menilai laluan Bas Smart Selangor agar lebih terhubung dengan jajaran dan stesen pengangkutan awam seperti perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) yang baharu atau sedang dalam pembinaan.


Pengarang :