Ilustrasi kebakaran. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga emas rentung terperangkap kebakaran

IPOH, 24 NOV: Dua warga emas rentung dalam kebakaran sebuah unit apartmen di Taman Meru Impiana dekat Meru Raya, awal pagi ini.

Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Khairul Jamil berkata dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki dan wanita ditemukan dalam keadaan tertiarap masing-masing di bahagian ruang tamu serta koridor bilik di kediaman berkenaan.

Katanya seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan BBP Meru Raya dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 3.40 pagi.

“Kita menemui dua mangsa dalam keadaan tertiarap semasa hendak keluar dari apartmen tersebut yang mana kita jumpa dalam keadaan rentung,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Khairul berkata kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.45 pagi dan operasi turut dibantu anggota daripada Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Bercham serta Pekan Baru.

Identiti dan punca kebakaran belum dikenal pasti.

-BERNAMA


Pengarang :