AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wartawan `ciplak’ gusarkan Malaysia-Indonesia

GEORGE TOWN, 13 NOV: Kalangan ahli akademik dalam bidang komunikasi di Malaysia dan Indonesia menzahirkan kebimbangan mereka dengan trend kewartawanan ciplak yang semakin berleluasa di media sosial.

Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Saifudin Mohamad Saleh berkata, mereka berpendapat trend tersebut secara terang-terangan telah melanggar etika kewartawanan.

Katanya, topik tersebut antara intipati perbincangan dan syarahan pada program ‘GORANGE 2.0: Road to Yogya’, program lawatan sambil belajar anjuran PPK USM ke Yogyakarta, Indonesia baru-baru ini.

“Daripada perbincangan dan syarahan ini, jelas wujud kebimbangan daripada semua pihak mengenai industri komunikasi khususnya dalam arena media sosial,” katanya sewaktu berkongsi hasil lawatan itu kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, perbincangan isu itu turut melibatkan Dekan Fakultas Ilmu Komunikasi dan Multimedia Universitas Mercu Buana Yogyakarta, Didik Haryadi Santos dan Pensyarah Departemen Ilmu Komunikasi Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik Universitas Gadjah Mada Yogyakarta, Lidwina Mutia Sadasri.

Mohamad Saifudin berkata, perbincangan yang disertai sembilan pelajar PPK USM dan 20 pelajar dan empat orang lagi pensyarah daripada kedua-dua universiti dari Indonesia itu turut mengupas perbandingan perkembangan komunikasi di kedua-dua negara.

“Landskap komunikasi di Malaysia dan Indonesia memang ada perbezaannya namun berkongsi kebimbangan terhadap fenomena “copy paste journalism” khususnya dalam kalangan media dalam talian,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan yang wujud dalam kalangan pelajar bidang kewartawanan daripada kedua-dua negara adalah berhubung peluang pekerjaan dalam bidang itu yang kini dilihat semakin tipis.

Beliau berkata, GORANGE 2.0: Road to Yogya diadakan dari 3-7 November lepas dan menurutnya, perkataan ‘GORANGE’ adalah singkatan untuk ‘generasi oren’ yang digambarkan sebagai generasi yang aktif dalam menyokong aktiviti kelestarian termasuk alam sekitar, pendidikan dan kebudayaan.

“Program selama lima hari ini sememangnya padat dengan pengisian yang berupaya membantu pelajar untuk menimba pengalaman yang amat berguna. Ia seterusnya akan melahirkan generasi pelajar yang celik budaya serantau dan berupaya menjadi individu yang kompeten dalam komunikasi antara budaya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :