EXCO Datuk Abdul Rashid Asari. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Wujudkan peraturan penginapan jangka pendek

SHAH ALAM, 13 NOV: Satu garis panduan akan diwujudkan bagi memantau aktiviti rumah penginapan berkonsepkan sewaan jangka pendek seperti AirBnB, kata Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Katanya, kerjasama itu akan dilakukan antara Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Institut Perancang Malaysia.

“Pada peringkat Kerajaan Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyiapkan draf cadangan Peraturan Penginapan Jangka Pendek sebagai panduan kepada pihak berkuasa untuk menyediakan kawalan ke atas penginapan sedemikian.

“Dengan adanya garis panduan ini, PBT atau pihak berkepentingan mempunyai punca kuasa dan rujukan perundangan yang mencukupi untuk membenarkan, mengawal selia dan menguatkuasakan peraturan-peraturan berkaitan dengan aktiviti penginapan seperti ini secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Michelle Ng Mei Sze (PAKATAN-Subang Jaya) berhubung langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah sampingan berpunca daripada perniagaan AirBnB.

AirBnB adalah penyedia perkhidmatan dalam talian bagi mengiklan, mencari dan menempah penginapan percutian unik berpangkalan di San Francisco.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menyeru pengusaha AirBnB di seluruh negara supaya mendaftar segera.

Pada Julai lalu, Pengurus Besar AirBnB Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Mike Orgill berkata, Malaysia terus menjadi pasaran paling berkembang pesat bagi AirBnB di Asia Tenggara buat tahun kedua berturut-turut dengan menjana kira-kira RM3 bilion impak langsung ekonomi kepada Malaysia.

Sepanjang 2018, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 73 peratus membabitkan 3.25 juta tetamu bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 1 Julai 2019.


Pengarang :