Selangorkini
AGENSI SELANGOR

YIDE rancang bina pusat dialisis di Masjid Sultan Abdul Samad

SEPANG, 22 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjalin kerjasama untuk membina pusat dialisis di Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tidak lama lagi.

Pengurus Operasi YIDE, Md Ariffin Jaafar berkata, pembinaan itu bagi memberi peluang kepada penduduk sekitar KLIA dan kakitangan MAHB menjalani rawatan dialisis dengan lebih mudah.

Katanya, caj rawatan dialisis yang dikenakan amat rendah berbanding dengan pusat dialisis swasta di sekitar Sepang dan Kuala Langat.

“Perkhidmatan ini juga dijangka mampu memberi rawatan hemodialisis kepada pelancong luar negara yang tiba ke Malaysia sekali gus menjadikan negara ini sebagai ‘medicalhealthtourism,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin di pejabatnya, baru-baru ini

Selepas itu, katanya, pihaknya menyasarkan untuk memperluaskan kerjasama dengan syarikat-syarikat pelancongan lain bagi membina lebih banyak pusat dialisis bagi membantu mereka yang ada penyakit kencing manis.

Md Ariffin berkata, setakat ini YIDE mempunyai enam pusat dialisis termasuk di Shah Alam, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar, Bukit Jelutong dan Taman Malawati.

“Perancangan kami adalah untuk membuka pusat dialisis di setiap daerah dalam negeri ini.

“Setakat ini kami mempunyai 263 pesakit yang sedang menjalani rawatan dialisis di bawah seliaan kami,” katanya.


Pengarang :