Dr Daroyah Alwi mengenakan tudung pada salah seorang peserta Program Back To School PEKAWANIS ADN Sementa di Pusat Pakaian Hari Hari di Pekan Kapar, Klang pada 25 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

100 murid DUN Sementa terima sumbangan Kembali Ke Sekolah

KAPAR, 25 DIS: Kira-kira 100 murid sekolah rendah kurang berkemampuan dirai dalam program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa di Pusat Pakaian Hari-Hari di sini hari ini.

Program tajaan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) itu membabitkan sumbangan baucar RM100 bagi membeli pakaian seragam dan kelengkapan sekolah.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata sumbangan fasa kedua itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapat manfaat Kerajaan Negeri, sekali gus mengurangkan keciciran pelajar di kawasan terbabit.

Peserta menunjukkan baucar pada Program Back To School PEKAWANIS ADN Sementa di Pusat Pakaian Hari Hari di Pekan Kapar, Klang pada 25 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Program seperti ini antara yang paling ditunggu-tunggu rakyat DUN Sementa dan akan menyusul bersama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Saya yakin anak-anak ini memiliki harapan dan semangat ke sekolah dengan memakai pakaian baharu, justeru saya memohon mereka (murid) menuntut ilmu sebaik mungkin seterusnya menjadi modal insan kepada Selangor,” katanya ketika ditemui.

Daroyah berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan sumbangan daripada beberapa syarikat yang menjalankan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi melaksanakan program seumpama itu pada masa akan datang.

Sementara itu, suri rumah, Saripah Salim, 40, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan.

Saripah Salim

“Saya bersyukur kerana sesi persekolahan sudah dekat, jadi bantuan ini memang diharap memandangkan pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan hanya cukup-cukup makan,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Bagi Johari Jalil, 42, dia berharap Kerajaan Negeri mempelbagaikan bantuan terutama kepada penerima yang layak.

Pekerja kilang yang menetap di Kampung Sungai Serdang di sini itu turut berterima kasih atas sumbangan kelengkapan persekolahan yang diterima anaknya.

“Ini tahun kedua anak saya menerima bantuan dan ia sudah tentu boleh mengurangkan beban kami sekeluarga. Pekerjaan seperti saya perlu mengharapkan kerja lebih masa baru dapat wang tambahan,” katanya.


Pengarang :