Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberi penerangan mengenai pembangunan Bandar Malaysia oleh Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings Tan Sri Lim Kang Hoo sempena majlis menandatangani perjanjian Pembangunan Bandar Malaysia antara TRX City Sdn Bhd (TRXC) dengan Konsortium IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 17 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

10,000 unit rumah mampu milik dibina dalam Bandar Malaysia

PUTRAJAYA, 17 DIS: Pembangunan baharu Bandar Malaysia bukan eksklusif bagi golongan kaya kerana kerajaan telah menyemak semula pelan pembangunannya dengan memasukkan pembinaan 10,000 unit rumah mampu milik, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pelan sebelum ini yang dirangka oleh kerajaan terdahulu hanya menyediakan bagi pembinaan 5,000 unit rumah mampu milik.

Dr Mahathir berkata kerajaan mahu memastikan rakyat tinggal dalam kawasan pembangunan baharu ini dengan menyatakan rumah mampu milik ini bahkan sebahagiannya boleh memberi subsidi kepada pembangunan projek yang lebih mahal.

“(Bandar Malaysia) ini dibina di pusat baharu, kita mahu orang tinggal dalam pembangunan itu bersama-sama dan kita tidak mahu ia menjadi eksklusif kepada golongan kaya sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis permeteraian perjanjian antara TRX City Sdn Bhd (TRXC) dan IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) untuk membangunkan Bandar Malaysia, di sini, hari ini.

Mengenai peratusan penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek Bandar Malaysia, Perdana Menteri berkata ia masih belum ditentukan lagi.

“Kita belum menentukan lagi peratusan, tetapi kita harap Bumiputera akan menyertainya, kemungkinan lebih daripada 30 peratus,” katanya.

Dr Mahathir juga ditanya mengenai sama ada Bandar Malaysia akan mempunyai stesen bagi kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur–Singapura (HSR).

“Ya, ia akan ada HSR walaupun kita belum memutuskan mengenai projek itu sendiri, tetapi ia akan mempunyai stesen bagi HSR,” katanya sambil menambah Malaysia akan meneruskan projek HSR tetapi buat masa ini kerajaan sedang menimbang kelajuan paling sesuai bagi kereta api laju itu.

“Kita akan teruskan tetapi kita perlu kaji apakah kelajuan paling sesuai. Tidak semestinya dalam 400km sejam.

”Kita mahu belanja kurang wang, kereta api berkelajuan tinggi adalah sangat mahal. Mungkin kita boleh kurangkan saiz atau buat pengubahsuaian untuk mengurangkan kos; mungkin kurangkan kelajuan boleh membawa kepada pengurangan kos,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :