Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil (tengah) bersama penerima-penerima bantuan selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah Bersama Anak-Anak Nelayan di Kompleks LKIM Kuala Selangor pada 29 Disember 2019. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

125 anak nelayan terima bantuan kelengkapan sekolah

KUALA SELANGOR, 29 DIS: Perbelanjaan untuk membeli barangan kelengkapan sekolah sememangnya sesuatu yang digusarkan terutamanya bagi ketua keluarga yang berpendapatan rendah dan tidak tetap.

Itu yang bermain di fikiran seorang nelayan, Tumiran Tamrim, 36, apabila anak sulungnya bakal memulakan alam persekolahan pada Khamis ini.

Kini dia boleh menarik nafas lega apabila anaknya merupakan antara 125 anak-anak nelayan dari kawasan Kuala Selangor dan Tanjung Karang yang terpilih untuk menerima bantuan persekolahan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini.

Katanya pendapatan sebagai nelayan yang tidak seberapa menyukarkannya untuk membeli kelengkapan sekolah baharu untuk anaknya.

“Kerja nelayan ini tidak menentu. Hari ini mungkin baik, esok mungkin tidak baik, tambah pula musim cuaca yang sering berubah sekarang.

Mujur anak saya faham situasi yang saya alami dan dia sendiri tidak banyak karenah, saya sering berpesan agar sentiasa bersyukur dengan rezeki diberikan Allah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di sini hari ini.

Katanya beliau berharap anaknya akan akan belajar bersungguh-sungguh dan berjaya di masa hadapan.

Sumbangan berupa barangan kelengkapan sekolah dan baucar membeli-belah bernilai RM100 itu disampaikan kepada para penerima oleh Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil.

Selain sumbangan barangan kelengkapan sekolah, di majlis berkenaan juga turut disampaikan sumbangan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) kepada tiga penerima sebanyak RM10,000 setiap seorang.

Seorang penerima, Yu Chin Lin, 42 berkata beliau amat berterima kasih kerana terpilih sebagai penerima PKPN.

“Duit ini saya akan guna untuk baiki rumah saya di Jalan Bagan Pasir Tanjung Karang, rumah saya rumah peninggalan keluarga dan buat dari papan, ada tempat sudah reput dan dengan duit ini saya akan ganti dan saya mahu ucap terima kasih kerana dengan duit ini saya dapat baiki rumah saya sebelum Tahun Baharu Cina,” katanya.

Sementara itu Muhammad Faiz ketika ditemui berkata sehingga hari ini seramai kira-kira 600 anak nelayan seluruh negara telah menerima bantuan berkenaan yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM150,000.

Katanya bantuan berkenaan disalurkan bagi memastikan anak-anak nelayan berkenaan dapat menjalani sesi persekolahan pada tahun hadapan dengan lebih lengkap dan selesa.

“Kami tidak mahu ada anak-anak nelayan ini yang tidak ke sekolah kerana tiada kelengkapan persekolahan yang cukup, kita mahu mereka menimba ilmu dan bila dewasa kelak mereka mampu mengubah ekonomi keluarga mereka ini,” katanya.

Ditanya mengenai bekalan ikan semasa musim tengkujuh yang dijangka berakhir pada Mac tahun hadapan, Muhammad Faiz berkata LKIM telah melakukan langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan protein utama rakyat Malaysia itu mencukupi.

“Buat masa ini kita telah mengenakan larangan eksport keluar ikan-ikan popular ikan rakyat atau ikan yang popular kalangan rakyat seperti ikan kembung, ikan bawal, ikan pelaling, ikan selar dan udang.

Kita juga bersedia untuk menambah stok ikan Q’fish (sejuk beku) di pasaran sekiranya berlaku kekurangan ikan atau kenaikan harga,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :