Michelle Ng Mei Sze melakukan gimik perasmian pada Program Penanaman Pokok MPSJ di Jalan USJ 2/3, Subang Jaya pada 12 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

140,412 ditanam di bawah pentadbiran MPSJ

OLEH ALIFF HAIKAL

SUBANG JAYA, 12 DIS: Sebanyak 140,412 pokok ditanam di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada tahun ini bagi membantu mengurangkan kesan pemanasan global dan pencemaran bunyi.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, usaha tersebut bertujuan membantu mengurangkan kesan gas rumah hijau serta meningkatkan kadar penyerapan karbon dioksida.

“Selain itu, program ini juga dijadikan alternatif dalam menyelesaikan masalah aduan bunyi dari lebuh raya Konsortium Expressway Shah Alam Selangor (KESAS) oleh penduduk.

“Bagi mengatasi masalah itu, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah dengan menanam pokok di sepanjang persisir lebuh raya KESAS.

“Pokok-pokok yang ditanam tersebut berfungsi untuk menyerap bunyi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penanaman Pokok MPSJ di Jalan USJ 2/3, di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 1,600 pokok terutama daripada spesies `Baphia Nitida’ telah berjaya ditanam di sepanjang lebuh raya KESAS.

Michelle berkata, program julung kali dianjurkan MPSJ ini mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar, KESAS, Prasarana Malaysia Berhad, Rapid Sdn Bhd dan Jawatankuasa Penduduk MPSJ.

“Pelaksanaan program ini selaras dengan pelan Kerajaan Negeri untuk menyumbang kepada penggunaan 45 peratus intensiti pelepasan gas karbon menjelang tahun 2030,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan dan Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid.


Pengarang :