EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari bergambar bersama wakil penerima sumbangan pada Program Back To School, di Kelab Eksekutif Klang, pada 22 Disember lalu.
EXCOSELANGOR

2,200 pelajar Selangor terima sumbangan beg sekolah, buka akaun SSPN

KLANG, 24 DIS: Seramai 2,200 pelajar dari 22 kawasan negeri Selangor menerima sumbangan beg sekolah dan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, sumbangan ‘Back To School’ itu merupakan salah satu program amal bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak.

Katanya, pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kelab Sukan dan Kebudayaan Selat Klang Selangor (SUKSES) bekerjasama untuk menyediakan bantuan itu.

“Bantuan yang diberikan adalah sebuah beg sekolah dan pembukaan akaun SSPN dari PTPTN sebanyak RM20 kepada setiap pelajar yang dipilih.

“PTPTN juga sentiasa menyokong penuh setiap usaha yang dijalankan SUKSES dalam menjaga kebajikan dan sedia membantu jika memerlukan.

“Walaupun sudah memasuki bulan Disember, SUKSES masih melaksanakan program untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya pada Program Back To School, di Kelab Eksekutif Klang, pada 22 Disember lalu.

Pada masa sama, Abdul Rashid berkata, kerjasama utuh antara SUKSES dan PTPTN perlu terus diperkasa untuk memastikan pelaksanaan selari dan mendokong hala tuju Kementerian dan kerajaan.

“Saya juga amat menghargai penyertaan daripada syarikat swasta mahu pun badan bukan kerajaan yang seikhlas hati memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Justeru, saya berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.


Pengarang :