Timbalan Yang DiPertua MPK, Elya Marini Darmin dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi serta tetamu jemputan bersama kek yang di potong pada Majlis mesra Krismas bersama warga MPK di Mini Auditorium Sultan Abdul Samad, Klang pada 20 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

300 kanak-kanak ceria terima ‘angpau’ Krismas

KLANG, 20 DIS: Seramai 300 kanak-kanak dan lima pertubuhan menerima sumbangan sempena sambutan Hari Krismas yang bakal diraikan pada Rabu depan.

Timbalan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin berkata, sumbangan disalurkan kepada penganut Kristian itu bagi membantu golongan kurang kemampuan.

“MPK memperuntukkan RM2,500 kepada pertubuhan kebajikan manakala ‘angpau’ berkenaan pula bertujuan untuk mengembirakan hati kanak-kanak berkenaan.

“Dengan sumbangan disalurkan diharapkan dapat membantu meringankan beban golongan berkaitan bagi meraikan sambutan Hari Natal pada 25 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Krismas bersama warga MPK 2019 di Mini Auditorium Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Kanak-kanak turut memeriahkan pada Majlis mesra Krismas bersama warga MPK di Mini Auditorium Sultan Abdul Samad, Klang pada 20 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi.

Lima pertubuhan itu ialah Pertubuhan Kebajikan Wanita dan Keluarga Abundant ARK, Waja Home, Rumah Anak Yatim Berkat Kasih, Suria Pagi dan Rakan Lutheran.

Mengulas penganjuran perayaan Krismas bersama warganya itu, Elya berkata, ia merupakan program julung kali diadakan.

“Saya berharap menerusi program ini, ia dapat memberi suntikan semangat untuk meneruskan tahun depan yang dijangka lebih mencabar,” katanya.


Pengarang :