AGENDANASIONAL

3,500 ejen meriahkan Ejen Ali Misi: Ejen Rush

OLEH ALIFF HAIKAL

PUTRAJAYA, 3 DIS: Seramai lebih kurang 3,500 peserta menjadikan dataran West Garden, IOI City Mall Putrajaya di sini, Ahad lalu, sebagai ‘lautan merah’ apabila menyertai acara larian Ejen Ali Misi: Ejen Rush.

Acara larian berhalangan ala ‘MATA Akademi’ diadakan buat julung kalinya itu dianjurkan Primeworks Studios dan WAU Animation disertai peserta digelar ‘ejen’ terdiri dari ibu bapa, kanak-kanak, remaja termasuk juga bayi yang kebanyakannya adalah peminat Ejen Ali.

Maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia hadir memeriahkan acara larian sambil dibantu penampilan istimewa maskot Alif serta Sofia iaitu karakter utama dari siri animasi baharu dihasilkan Primeworks Studios dengan kerjasama Blindsport Studios, Ejen Ali The Movie.

Ahmad Nazmi Mohd Hakimi, 14, merangkul tempat pertama dengan menamatkan larian dalam masa 25 minit, melahirkan rasa gembira atas kejayaannya itu.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati kerana berjaya menempuhi ‘Zon Cabaran’ dan tiba di garisan penamat. Kami sekeluarga bangun seawal jam lima pagi kerana terlalu teruja dan tidak sabar untuk menyertai aktiviti ini,” katanya.

Sesi senaman zumba diadakan sebelum acara larian bermula jam 7.30 pagi turut menyaksikan penyertaan beberapa artis tanah air iaitu Lisdawati, Dazrin Kamarudin, Azharina Azhar dan Ayu Damit.

“Misi Ejen Rush adalah aktiviti sangat bagus kerana ia bukan sahaja dianjurkan bagi mempromosikan filem Ejen Ali tetapi dapat memberi peluang kepada peserta untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga serta orang tersayang,” kata Lisdawati.

Sepanjang program, peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan istimewa dari penyanyi remaja popular, Ismail Izzani, yang menghiburkan peminat dengan dua lagu bertajuk Luar Biasa dan Sabar.

Sesi cabutan bertuah turut diadakan dengan peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa termasuk tiket wayang percuma untuk menonton filem Ejen Ali The Movie, barangan eksklusif Ejen Ali serta ‘Smart TV’ 40-inci sebagai hadiah utama.

Antara selebriti tempatan lain yang hadir tanda sokongan kepada program itu adalah Haiza, Hafiz Hatim dan RD dari Fly FM, Deen, Haziq dan Rara dari Hot FM serta Muaz dari Kool FM.

Turur hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dan CEO WAU Animation, Usamah Zaid Yasin.

Ejen Ali Misi: Ejen Rush diadakan sempena filem Ejen Ali The Movie yang berjaya mencatat kutipan lebih RM6.4 juta selepas tiga hari ditayangkan di 162 pawagam serentak bermula 28 November lalu di Malaysia, Singapura dan Brunei.


Pengarang :