Larian Ice Watch’s Light Up The Day Run 2019 yang disertai peserta pelbagai negara berlangsung di Putrajaya pada 8 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

5,000 sertai Ice Watch’s Light Up The Day Run 2019

PUTRAJAYA, 8 DIS: Kira-kira 5,000 orang termasuk warganegara luar menyertai Ice Watch’s Light Up The Day Run 2019 yang telah memperlihatkan bagaimana aktiviti larian boleh menyatupadukan orang ramai secara serentak dari seluruh dunia.

Pengerusi Ice Watch Malaysia, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, larian kali keempat itu berjaya membawa kegembiraan dan keseronokan kepada para peserta apabila mereka dapat bertemu dan menjalinkan persahabatan sesama peserta.

“Ini larian yang paling seronok yang pernah dianjurkan oleh Ice Watch kerana kita ada peserta dari Malaysia, Jepun dan banyak lagi peserta dari negara lain, ia menunjukkan bahawa larian sebegini boleh menyatupadukan orang ramai dari negara berkenaan semasa berkenalan dengan mereka dari negara lain.

“Ini selari dengan tema ‘Unity and Colorful’, dengan kejayaan larian tahun ini kami berusaha untuk menjalankan promosi secara besar-besaran bagi menarik lebih ramai peserta dari luar negara untuk Ice Watch Run akan datang,” katanya kepada pemberita selepas larian, hari ini, di sini.

Beliau juga berkata, sempena dengan Light Up The Day Run 2019, Ice Watch juga melancarkan edisi khas jam tangan Malaysia ‘Ice On Fire’ yang didatangkan dengan empat jenis warna merah dan putih dengan reka bentuk ‘Fire’, ‘Chilli’, ‘Red’ dan ‘Red Glow’.

“Edisi jam tangan ini direka bentuk secara eksklusif untuk jualan di Malaysia sahaja, kami mempunyai kira-kira 5,000 unit jam tangan edisi ini dengan harga hanya RM99 (sebelum ini harganya RM339),” kata Meer.

Sementara itu, pengasas Ice Watch, Jean Pierre Lutgen berkata, beliau berasa amat gembira melihat semua peserta dapat meluangkan masa dan ini juga kali pertama beliau menyertai Ice-Watch Run tahun ini.

“Apabila kita menyertai larian seperti ini kita sering menyebut mengenai perpaduan kerana kita semua adalah daripada keluarga besar. Bagi saya untuk menyertai acara seumpama ini adalah satu impian saya,” kata warga Belgium ini.


Pengarang :