Sebahagian anak-anak Orang Asli yang menyertai khatan pecuma di Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan-Asli, Damansara Perdana. Foto Ihsan Megaklinik Zahran
AGENSI SELANGOR

56 Orang Asli sertai khatan percuma

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 56 masyarakat Orang Asli terpilih menyertai program berkhatan secara percuma sempena ‘Jalinan Kasih Orang Asli Selangor 2019’ di Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan-Asli, Damansara Perdana di sini, baru-baru ini.

Program julung kali itu dianjurkan Persatuan Pengurusan dan Kebajikan Islam Orang Asli (PKIOA) Selangor dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Megaklinik Zahran.

Pengerusi PKIOA, Norazman Jamalim berkata, 51 daripadanya membabitkan peserta lelaki berusia tujuh bulan hingga 30 tahun dam lima perempuan (tujuh bulan hingga lima tahun).

Katanya, peserta khatan terdiri daripada masyarakat dari Desa Temuan Broga, Puchong, Bukit Bandaraya (Shah Alam) dan Sungai Judah, Gombak.

“Perkhidmatan berkhatan disediakan Megaklinik Zahran ini bukan sahaja untuk mereka yang beragama Islam, namun terbuka buat semua agama dan lapisan umur.

“Saya percaya dengan wujudnya hubungan baik dengan masyarakat, ini adalah antara cara untuk mendidik tentang kesihatan dan kebersihan selain membina kepercayaan serta ukhuwah.

“Diharap ia dapat membuka mata semua pihak mengenai pentingnya untuk berkhatan, penjagaan kebersihan dan kesihatan serta vaksinasi kepada diri, keluarga, bangsa juga agama,” katanya kepada SelangorKini.

Peserta dikhatankan oleh Pegawai Perubatan Megaklinik Zahran iaitu Dr Shah Reza, Dr Azlan Shah, Dr Hazim, Dr Syazmin, Dr Ramziawati dan dibantu pasukan Zahran Sunathon.

Sebelum bermula, mereka dipakaikan Tanjak Hero Sejati sebagai simbolik khas daripada Megaklinik Zahran bagi memberi semangat untuk peserta diikuti acara Bersiram dan pemberian Sijil Hero Sejati usai program berkenaan.


Pengarang :