Dato’ Mohd Sayuthi Bakar menyerahkan sumbangan peralatan sekolah bagi anak-anak dalam keluarga berpendapatan rendah pada majlis `Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ di Hypermarket Giant USJ pada 4 Disember 2019. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

60 keluarga terima baucar `Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’

OLEH ALIFF HAIKAL

SUBANG JAYA, 5 DIS: Prihatin dengan keluarga yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengajurkan majlis ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

Menerusi kenyataan di Facebook MBPJ, program yang diadakan di Hypermarket Giant USJ semalam melibatkan 60 keluarga di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar telah menyerahkan baucar bernilai RM300 kepada 60 keluarga untuk membeli peralatan sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis.

Mohd. Sayuthi berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai tanggungan anak bersekolah yang ramai.

Katanya, program seperti ini secara tidak langsung dapat membentuk modal insan cemerlang dalam pendidikan tanpa anak-anak berkenaan berasa terpinggir dengan ketidakmampuan keluarga.

“Penerima sumbangan itu membabitkan penduduk yang berdaftar di bawah PPKB iaitu melibatkan mereka yang mendiami PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Desa Mentari,” katanya.


Pengarang :