AGENDANASIONAL

90 peratus perairan Malaysia bebas pencerobohan bot nelayan asing

SERDANG, 4 DIS: Sebanyak 90 peratus kawasan perairan negara kini bebas daripada pencerobohan bot nelayan asing sejak Ops Naga dijalankan April lepas, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sepanjang tempoh itu, katanya sebanyak 160 bot nelayan asing telah ditahan di kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka, sekali gus membawa kepada peningkatan ketara kepada hasil tangkapan laut oleh nelayan tempatan di Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Operasi tidak terhad kepada menahan bot nelayan asing tetapi turut membanteras penggunaan alatan tangkapan seperti bubu naga yang boleh memusnahkan ekosistem laut,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dialog Pembaharuan Industri Perikanan Negara di sini hari ini.

Berikutan itu, Salahuddin berkata Kabinet telah bersetuju Ops Naga yang melibatkan kolaborasi lima kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diteruskan sehingga ke satu tempoh masa yang akan diputuskan kelak.

Ini, katanya selepas Kabinet bersetuju kolaborasi yang turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar itu banyak memberi manfaat kepada nelayan melalui tindakan mengekang aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

Katanya beliau telah meminta Timbalan Ketua Setiausaha kementerian yang kini menjalankan tugas-tugas Ketua Setiausaha Datuk Salim Parlan untuk berbincang dengan Agensi Penguatkuasaan Maratim Malaysia (APMM) supaya bot nelayan asing dan peralatan tangkapan yang dirampas melalui Ops Naga diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan penguatkuasaan.

Pada 3 Oktober lepas, lapan bot asing yang ditahan dalam Ops Naga dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12 juta dilupuskan melalui kaedah penenggelaman di perairan Pulau Kapas, Marang, Terengganu selepas selesai proses perundangan.

Dalam pada itu, Salahuddin mengingatkan pemegang lesen bot nelayan supaya tidak menggunakan bot atau vesel masing-masing bagi mengangkut atau membawa pendatang asing kerana tindakan tersebut bertentangan dengan undang-undang dan syarat pemberian lesen di mana pelakunya boleh dikenakan tindakan tegas.

Menurutnya, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan kepadanya tentang kewujudan aktiviti tersebut yang dilakukan oleh segelintir nelayan dan kementerian sedang menunggu laporan tepat dan lengkap mengenainya untuk tindakan lanjut.

“Lesen diberi untuk menangkap ikan bukannya mengangkut orang asing. Jika ditangkap pihak berkuasa, ia bukan lagi di bawah bidang kuasa kementerian… jadi, jangan susahkan diri membuat kerja yang jelas menyalahi undang-undang,” katanya.

Ditanya mengenai usaha kerajaan membantu nelayan berdepan musim tengkujuh khususnya di Pantai Timur, Salahuddin berkata kementerian telah memberi kebenaran khas iaitu lesen Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) kepada nelayan bot pukat tunda bagi membantu golongan terbabit menjalankan aktiviti di laut.

Beliau berkata kebenaran khas PTMT dibenarkan hanya untuk tempoh tiga bulan bermula November lepas.

-BERNAMA


Pengarang :