ADN Sungai Ramal, Mazwan Johar melakukan gimik perasmian pada Program Khitan Jama’ie ABIM Bangi 2019 anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Bangi, 14 Disember lalu di Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Foto: Ihsan ABIM
AGENSISELANGOR

ABIM Bangi bantu keluarga kurang kemampuan jalani proses khatan

BANGI, 17 DIS: Seramai 40 kanak-kanak asnaf dan anak yatim menyertai Program Khitan Jama’ie ABIM Bangi 2019 anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Bangi, Sabtu lalu.

Yang Dipertuanya, Muhammad Afiq Ramlee berkata, program kali ketiga yang diadakan setiap tahun itu bagi membantu keluarga yang tidak berkemampuan menjalani proses khitan dengan yuran penyertaan rendah.

“ABIM Bangi komited dalam ruang sukarelawan, kemasyarakatan dan dakwah untuk membantu meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan.

“Program seperti ini turut bertujuan jaringan kerjasama antara pihak parlimen dan Ahli Dewan Negeri Bangi serta semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program ini,” katanya kepada SelangorKini.

Turut hadir, ADN Sungai Ramal Mazwan Johar dan Yang Dipertua ABIM Selangor, Ahmad Fawwaz Ahmad Syukri.

Program itu diadakan di Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bangi, Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi, Biro Kesihatan ABIM dan Balai Bomba Bandar Baru Bangi.

Pada masa sama, Muhammad Afiq berkata, pihaknya sedang merangka pelbagai program yang bakal diadakan antaranya
program Keluarga Mawaddah wa Rahmah (KAMAR) memfokuskan soal pendidikan keibubapaan dan aspek keluarga muda.


Pengarang :