Seorang peserta menyertai Tulisan Khat (Jawi) dan kaligafi Cina di Kuala Kubu Baru pada 2 Disember 2019.
ADNSELANGOR

ADN anjur pertandingan khat Jawi

SHAH ALAM, 4 DIS: Lain daripada yang lain, itulah inisiatif Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong yang menganjurkan Pertandingan Tulisan Khat (Jawi) dan Kaligrafi Cina di Kuala Kubu Bharu pada  2 Disember lalu.

Kee Hiong berkata, beliau percaya seni menjadi wadah penyatuan kaum kerana melalui kefahaman budaya ia membolehkan orang ramai lebih menghormati antara satu sama lain.

“Kita tidak boleh berpecah-belah apabila orang Melayu buat seni kemelayuan secara kumpulan sendiri, Cina dengan kumpulannya begitu juga dengan kumpulan Tamil.

“Saya masih yakin ramai rakyat Malaysia masih menghargai budaya yang ada daripada pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

ADN Banting, Lau Weng San bergambar bersama peserta Pertandingan Tulisan Khat dan Kaligrafi Cina di Kuala Kubu Bharu pada 2 Disember 2019.

Pertandingan kali pertama anjuran Pusat Khidmat Kuala Kubu Bharu itu mendapat sambutan 80 peserta dari Selangor, Johor, Melaka, Kelantan, Pahang dan Perak.

Juara menerima hadiah wang tunai RM1,000, naib juara (RM800), ketiga (RM500) dan 10 lagi menerima saguhati.

Kee Hiong berkata, sebagai ADN beliau amat gembira apabila matlamat utama agar pekan Kuala Kubu Bharu yang dilihat sepi boleh bangkit menjadi sebuah pekan seni yang ceria dan menyatukan masyarakat.

“Setiap peserta dinilai daripada pakar seni kaligrafi Jawi dan Cina yang dibuat,” katanya.

Hadiah disampaikan ADN Banting, Lau Weng San mewakili Kee Hiong yang sedang berehat kerana masalah kesihatan pada hari sama.


Pengarang :