AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong berkenan jadi Penaung Diraja MGA

SHAH ALAM, 16 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan dengan pelantikan Seri Paduka sebagai Penaung Diraja Persatuan Golf Malaysia (MGA).

Pelantikan Al-Sultan Abdullah menyaksikan Seri Paduka menjadi penaung diraja pertama bagi MGA.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan MGA hari ini, Al-Sultan Abdullah gembira untuk memainkan peranan dalam MGA dan menyumbang ke arah mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah kuasa golf di rantau ini.

“Beta percaya lebih banyak lagi yang boleh dilakukan untuk membangunkan lagi sukan ini di dalam negara, seperti meningkatkan program pembangunan remaja untuk mencungkil lebih banyak bakat yang bakal mewakili negara di masa hadapan.

Kejayaan pasukan wanita kita memenangi pingat perak dalam Sukan SEA baru-baru ini membuktikan pemain kita adalah setaraf ataupun lebih baik jika dibandingkan dengan pemain golf dari negara lain dalam rantau ini. Beta yakin dengan usaha bersepadu, Malaysia boleh menjadi sebuah kuasa golf serantau, ” titah Al-Sultan Abdullah.

Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata dengan MGA dinaungi Yang di-Pertuan Agong akan merancakkan dan mengukuhkan lagi langkah jangka panjang dan aspirasi MGA untuk mempromosi dan membangun golf di Malaysia.

“MGA merasa dihormati bahawa Seri Paduka berkenan untuk menerima pelantikan sebagai Penaung Diraja Persatuan Golf Malaysia, merupakan kali pertama buat persatuan ini.

MGA sememangnya merasa bertuah dengan naungan ini dan menghargai bahawa Seri Paduka berkongsi aspirasi dan matlamat MGA untuk membangunkan lagi dan mempromosi sukan golf di negara ini, katanya pada sidang akhbar di Kelab Golf & Country Kota Permai di sini hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :