Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pada Majlis Santapan Tengah Hari bersama Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada 12 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Agong hadir majlis santapan bersama Ratu Elizabeth II

LONDON, 13 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menghadiri majlis santapan tengah hari bersama dengan Ratu Elizabeth II di istana Buckingham, pada Khamis.

Sebaik tiba, Seri Paduka berdua yang menerima tabik hormat diraja disambut oleh Earl of Wessex, Putera Edward.

Pasangan diraja itu diiringi oleh anakanda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Mohamad Sadik Kethergany.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah melawat Westminster Abbey, yang merupakan salah satu tempat ibadat tersohor di United Kingdom, dan yang menjadi tempat pemahkotaan serta pengkebumian tradisional untuk raja-raja Inggeris.

Baginda turut meletakkan kalungan bunga di makam seorang askar British yang tidak dikenali, yang terbunuh di medan perang Eropah semasa Perang Dunia Pertama dan jasadnya dibawa ke gereja itu pada tahun 1920 dari tanah perkuburan medan perang di utara Perancis dan diberi pengkebumian negara.

Seri Paduka turut meluangkan masa melawat Churchill War Rooms, kompleks bawah tanah bersejarah yang menempatkan pusat kawalan kerajaan British semasa Perang Dunia Kedua.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berada di UK untuk lawatan khas sehingga 16 Disember.

Ia merupakan lawatan khas keempat Al-Sultan Abdullah selepas Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lalu, sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari.

-BERNAMA


Pengarang :