AGENSISELANGOR

Air Selangor sasar 600,000 pengguna beralih ke e-bil

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Pengursan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mensasarkan 600,000 pengguna akan menggunakan kaedah e-bil menjelang Mac 2020.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata, setakat 16 Disember lepas, seramai 452,600 sudah menggunakan e-bil.

“Air Selangor memperkenalkan e-bil pada 1 Januari 2018 dan sehingga kini, kita mempunyai 452,600 pengguna.

“Kita sasarkan jumlah ini akan terus meningkat sebanyak 600,000 menjelang Mac tahun hadapan,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui.

Abdul Halem berkata, kempen e-bil itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan menggalakkan pengurangan penggunaan kertas.

Katanya, pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang memudahkan pengguna dengan membayar bil air di mana-mana dan pada bila-bila masa menerusi perkhidmatan dalam talian.

“Satu bil mungkin nampak remeh di mata pengguna tetapi sekiranya ia dijimatkan dalam tempoh yang panjang, tentunya memberi impak kepada cucu kita pada masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Air Selangor kini dalam usaha menyokong menyelamatkan bumi dengan mengurangkan penggunaan kertas dan memperkenalkan e-bil atau bil air secara dalam talian yang diterima menerusi e-mel bermula 1 Januari 2018.

Penerimaan bil air menerusi e-mel itu lebih cepat, mudah dan senang untuk dirujuk pada bila masa dan di mana-mana sahaja.

Pengguna boleh mendaftar secara dalam talian di laman sesawang https://update.airselangor.com/.


Pengarang :