AGENDANASIONAL

Akaun Wakalah TH berkuat kuasa 31 Disember

SHAH ALAM, 10 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) bakal melakukan peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah yang akan berkuat kuasa pada 31 Disember ini.

TH dalam kenyataan memaklumkan, peralihan itu bakal memberi lebih nilai tambah dan manfaat kepada pendeposit tanpa menjejaskan sebarang kemudahan dan elaun sedia ada.

Katanya peralihan kepada kontrak Wakalah itu bagi menggantikan kontrak simpanan Wadiah Yad Dhamanah yang digunakan sebelum ini.

“Menerusi kontrak baharu, TH adalah wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi aktiviti pelaburan dan operasi haji serta keuntungan yang dijana setiap tahun akan diagih kepada pendeposit berdasarkan prestasi kewangan TH.

“TH sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatannya dengan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan untuk manfaat pendeposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, antara kelebihan menyimpan di TH adalah dijamin 100 peratus oleh kerajaan selaras Akta Tabung Haji 1995 selain zakat dibayar bagi pihak pendeposit.

“Pendeposit tidak perlu mengisi dokumen baharu dan boleh berurusan seperti biasa di mana-mana pejabat cawangan TH seluruh negara.

“TH ingin memaklumkan dengan mengekalkan deposit bersama TH selepas 31 Disember, pendeposit dianggap memberi persetujuan terhadap peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah ini,” katanya.

Terma dan syarakat akaun TH boleh dirujuk di pautan www.tabunghaji.gov.my/wakalah.


Pengarang :