Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam Larian Gambut 2019 di Kampung Johan Setia, Klang pada 22 Disember 2019.
EXCO SELANGOR

Amal gaya hidup sihat, 100 sertai Larian Gambut 2019

SHAH ALAM, 24 DIS: Bagi menerapkan amalan hidup sihat, kira-kira 100 peserta menyertai Program Larian Gambut 2019 yang diadakan di Kampung Johan Setia, Klang pada Ahad lalu.

Ahli Dewan Negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, larian berkenaan diharap mampu memupuk semangat menjaga kesihatan dan kecergasan diri masing-masing.

Selain itu, katanya, sepanjang larian, peserta dapat melihat kawasan belukar seluas 1,618 hektar dan secara tidak langsung memberi kesedaran kepada mereka bagi mengelakkan berlaku pembakaran secara terbuka di kawasan itu.

“Belukar Gambut Johan Setia merupakan kawasan zon pertanian yang menghasilkan tanaman kontan seperti sayuran hijau, ubi kayu, keledek, halia, lengkuas, serai dan sebagainya.

“Di sini juga terdapat nanas jenis yanki dan morris yang diusahakan peneroka revolusi hijau sejak sekian lama,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kawasan ini juga sering terbakar pada musim panas dan kadangkala pembakaran tersebut berpunca daripada individu yang tidak bertanggungjawab.

Mohd Zawawi berkata, semua agensi berkaitan giat mengadakan kempen kesedaran dan pemantauan berterusan bagi membendung kegiatan pembakaran terbuka di kawasan berkenaan.

“Saya berharap menerusi program sedemikian akan dapat memberi kesedaran kepada orang awam manakala penguatkuasaan undang-undang secara berterusan juga dapat menjaga alam sekitar,” katanya.


Pengarang :