AGENSISELANGOR

Amal panduan makanan selamat elak keracunan

SHAH ALAM, 31 DIS: Semua pihak yang terlibat dengan Program Sarapan Pagi (PSP) di Selangor dinasihat supaya mengamalkan lima panduan makanan selamat yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata panduan itu adalah menjaga kebersihan, asingkan makanan mentah dari makanan sudah dimasak, masak dengan cara betul, simpan makanan pada suhu selamat dan gunakan air serta bahan mentah yang selamat.

“Objektif program yang mementingkan gaya hidup sihat dan merangsang tumbesaran pelajar ke arah lebih baik menjadikan program ini begitu bermanfaat bagi semua pelajar.

“Saya berharap makanan yang diberikan dalam PSP bersih dan selamat. Keselamatan makanan semasa pembekalan, penyediaan dan penyimpanan perlu diberi perhatian serius untuk mengelakkan penyakit bawaan makanan terutama keracunan makanan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut menyambut baik pelaksanaan PSP fasa pertama yang akan dilaksanakan pada Januari 2020.

Dr Khalid juga menyeru amalan lihat, hidu dan rasa sebelum makan diteruskan oleh guru dan pelajar sebelum menikmati makanan yang diberikan dalam program berkenaan.

“Amalan ini sekurang-kurangnya dapat menjadikan salah satu benteng diri daripada mengalami keracunan makanan. Pelbagai panduan berkaitan keselamatan makanan boleh diambil dari fsq.moh.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.

“Sekiranya terdapat pertanyaan, boleh hubungi pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat,” katanya.


Pengarang :