Mohd Khairuddin Othman (tengah) bersama dron selepas sesi sidang media Program Sambutan Ambang 2020 di Bangunan SUK, Shah Alam pada 20 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Ambang Tahun Baharu Selangor 2020 djangka paling meriah

SHAH ALAM, 20 DIS: Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 peringkat Selangor yang akan diadakan pada 31 Disember di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, bakal menjadi acara paling meriah dan terbuka.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, sambutan bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah malam itu bersifat terbuka apabila Kerajaan Negeri mahu mendekati semua kategori masyarakat sama ada aktif, tidak aktif, pasif dan mempunyai masalah sosial atau tidak.

“Kerajaan Negeri mengambil langkah menganjurkan program seumpama ini bertujuan menyediakan pelbagai aktiviti dan program hiburan berinformasi serta sebagai alternatif kepada setiap lapisan masyarakat.

“Program akan disampaikan dalam bentuk santai kontemporari dan menghiburkan sesuai dengan cita rasa serta relevan mengikut kehendak zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Program Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 peringkat Selangor di Foyer Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin Othman menunjukan poster program ketika sesi sidang media Program Sambutan Ambang 2020 di Bangunan SUK, Shah Alam pada 20 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Khairuddin berkata, program hampir satu hari itu turut menampilkan pelbagai acara menarik antaranya pertandingan e-sukan seperti ‘PubG’, ‘Call of Duty’, ‘Fifa20’ dan ‘Tekken 7’, pertandingan dron serta kendera saji yang akan berterusan hingga malam.

“Selain itu, turut diadakan acara Penalti Ambang 2020, ‘Netball Shootout Ambang 2020′, Beyblade yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan,” katanya.

Beliau berkata, sambutan diteruskan di sebelah malam dengan program Selangor Berselawat dan solat berjemaah sebelum diikuti persembahan perarakan pancaragam yang juga pertama kali diadakan.

Katanya, sambutan lebih meriah apabila pada malam berkenaan turut diadakan persembahan penyanyi popular, Black Mentor, Syamel dan Ernie Zakri.

“Kemuncak sambutan akan dihadiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, turut akan mengira detik jam 12 tengah malam diikuti pertunjukan bunga api.

“Sambutan kali ini lebih meriah memandangkan Selangor sudah lama tidak mempersembahkan pertunjukan bunga api pada malam tahun baharu.

“Justeru, saya menyeru warga Selangor khususnya untuk datang beramai-ramai dan sertai pelbagai acara yang akan diadakan selain bersama mengira detik kedatangan tahun baharu 2020,” katanya.

Kerajaan Negeri turut menjangkakan kehadiran pengunjung kira-kira 20,000 orang pada sambutan malam terbabit.


Pengarang :