EXCOSELANGOR

Ambil alih IWK, Selangor mahu elak gangguan air

SHAH ALAM, 26 DIS: Hasrat Kerajaan Negeri untuk mengambil alih syarikat pembentungan Indah Water Konsortium (IWK) bertujuan menjaga kepentingan rakyat Lembah Klang supaya masalah gangguan air tidak berulang.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata ketika ini Kerajaan Negeri terpaksa memikul tanggungjawab berkenaan jika IWK tidak dapat menyelesaikan isu pencemaran bau.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri tiada minat langsung untuk mengambil alih IWK daripada Kerajaan Pusat tetapi jika mereka sendiri tidak dapat menyelesaikan isu berkenaan, kita terpaksa memikul tanggungjawab dan memberi cadangan pengambilalihan.

“Hal ini supaya kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terjaga serta masalah pencemaran berbau yang mengakibatkan loji rawatan air henti tugas yang menyebabkan gangguan air tidak berulang,” katanya kepada SelangorKini.

Loy Sian turut menggesa IWK untuk sentiasa menjaga ‘manhole’ mereka dengan baik supaya tiada bahan sisa kimia industri dibuang dan memastikan sisa buangan yang dihasil serta dilepas tidak berbau.

Pada masa sama, beliau turut menolak kenyataan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang menganggap masalah itu berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan Kerajaan Negeri.

“Kejadian itu berpunca daripada kelemahan IWK yang gagal mengesan pencemaran bahan kimia industri memasuki kawasan mereka kerana tiada pekerja dalamnya.

“Hal itu menyebabkan IWK memproses bahan kimia seperti memproses bahan kumbahan. Sepatutnya Jabatan Alam Sekitar perlu memantau dan memastikan bahan sisa kimia industri itu dibawa ke tempat pelupusan khas, bukannya dibuang ke ‘manhole’ IWK,” katanya.


Pengarang :