Selangorkini
RENCANA WAWANCARA

Ambil langkah tidak popular demi keselamatan rakyat

Oleh Norshazlina Nor Azman & Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan penyediaan sistem pengangkutan awam, serta tidak ketinggalan tumpuan kepada aspek keselamatan di jalan raya sentiasa menjadi antara nadi dan tonggak Kementerian Pengangkutan dalam merencanakan agenda mensejahterakan rakyat.

Meskipun adakalanya usaha penambahbaikan dan perubahan yang diperkenalkan sejak peralihan kuasa kerajaan dilihat sebagai bukan pendekatan popular, namun kementerian itu enggan menoleh ke belakang dan bertekad mahu terus memampankan aspek keselamatan serta pengangkutan negara.

Memberi contoh kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan tetap dengan pendirian untuk mewajibkan penggunaannya di dalam kereta persendirian bermula Januari depan meskipun mendapat pelbagai tentangan dan reaksi negatif yang tidak bersetuju akan undang-undang tersebut.

Tegasnya, kerajaan tidak pernah berniat untuk menyusahkan atau membebankan ibu bapa, namun pengenalan langkah itu amat diperlukan bagi memberi kesedaran kepentingan melindungi nyawa anak-anak memandangkan terdapat banyak kemalangan yang menyaksikan mereka maut akibat kegagalan menggunakan CRS.

“Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pengangkutan dan keselamatan jalan raya, saya perlu ambil tindakan ini walaupun dikritik mengambil tindakan tidak popular dan sebagainya, tetapi untuk jangka masa panjang, saya yakin ini adalah langkah terbaik untuk keselamatan rakyat.

“Kami tahu banyak suara yang membantah dan mengadu kerana ia akan menambah beban, kos CRS mahal, menyusahkan dan sebagainya… kami tahu maklum balas itu akan berlaku kerana jika dilihat balik apa sahaja langkah keselamatan yang diperkenalkan sebelum ini mengambil masa untuk rakyat menerima dan menyesuaikan diri,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas baru-baru ini.

Loke berkata umpama pemakaian tali pinggang keledar dan juga topi keledar yang diwajibkan pada tahun 70-an, yang mana mulanya orang ramai membantah penguatkuasaannya tetapi kini kedua-dua peraturan itu menjadi norma dan tidak dipertikaikan kepentingannya.

“Pada zaman itu kereta tidak mempunyai tali pinggang keledar dan apabila diperkenalkan sudah tentu orang membantah… begitu juga topi keledar yang mana pemakaiannya di Malaysia kini sudah mencapai tahap pematuhan yang amat tinggi berbanding negara-negara di rantau ini… jadi kita faham apa sahaja langkah yang diperkenalkan pastinya pada permulaan akan ada bantahan,” katanya.

Beliau berkata meskipun penggunaan CRS itu diwajibkan bermula 1 Jan depan namun tiada saman atau tindakan keras akan dikenakan untuk enam bulan pertama bagi mendidik dan membiasakan rakyat dengan peraturan tersebut.

“Seringkali saya ulang bahawa tujuan saya bukan untuk dapatkan duit saman daripada rakyat, bukan untuk susahkan orang tetapi fokus utama adalah kita mahu rakyat tahu CRS adalah keperluan untuk keselamatan, maka sebab itu pendekatan ‘soft landing’ diambil untuk fasa pertama iaitu fasa pendidikan atau advokasi sebelum fasa penguatkuasaan dijalankan,” katanya.

Berhubung isu harga CRS yang dikatakan agak mahal hinggakan menjadi kerisauan orang ramai, Loke berkata beliau percaya ia akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan penawaran yang tinggi dalam pasaran selepas undang-undang itu digazetkan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan bersikap lepas tangan dan akan terus memantau harga CRS di pasaran, selain kementerian itu telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk tidak mengenakan duti eksesais terhadap CRS supaya harga produk berkenaan dapat dikurangkan.

Dalam bergerak ke hadapan pastinya keselamatan jalan raya bukan satu-satunya perkara yang menjadi fokus utama, malah kementerian itu memasang harapan untuk terus menyediakan dan menambahbaik mobiliti yang lebih efisien kepada rakyat secara berterusan, dari darat hinggalah ke udara, sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030.

“Kita adalah the ‘movement of goods and people,’ bukan sahaja menyediakan pengangkutan untuk rakyat tetapi dalam masa sama kita kena lihat sejauh mana keberkesanan pengangkutan barangan kerana ia melibatkan sektor logistik daripada pelabuhan, lapangan terbang dan pengangkutan darat.

“Semua itu merupakan ekosistem yang besar, maka kita harap dapat menyediakan satu persekitaran yang memudah carakan pergerakan barangan… kalau kita dapat melaksanakan itu dengan lebih efisien maka kos pengangkutan untuk barangan akan jadi lebih rendah dan akan diterjemahkan kepada penurunan kos barangan yang berhubung kait dengan kos sara hidup,” katanya.

Dalam menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pula, pas perjalanan My100 yang memberikan akses tanpa had untuk semua perkhidmatan di Lembah Klang yang disediakan oleh Rapid KL daripada monorel, LRT, MRT, Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, bas perantara MRT dan semua bas ganti-ganti Rapid KL, telah diperkenalkan awal tahun ini.

Loke berkata pas eksklusif bulanan untuk warga tempatan itu merupakan inisiatif kerajaan yang dapat meringankan kos sara hidup dan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

“Kita mahu rakyat hidup lebih selesa, mudah dan ada masa lebih dengan keluarga…. dalam masa sama kita akan terus memberi penekanan terhadap penyediaan infra dan pelbagai projek pembangunan pengangkutan terutamanya di bandar-bandar besar selain di Lembah Klang supaya prasarana itu dapat terus dibangunkan secara berfasa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hala tuju untuk tahun 2020 yang bakal menghampiri dalam hanya beberapa hari sahaja lagi, Loke berkata, “Banyak rancangan dan inisiatif yang hendak kita laksanakan… kita mahu terus tambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berurusan dengan rakyat setiap hari.”

Katanya, transformasi perlu dilakukan bagi mendigitalkan perkhidmatan awam yang berkaitan supaya servis mereka dapat ditawarkan melalui ‘online’ agar dapat mengurangkan masalah pengguna yang terpaksa menunggu lama akibat ramai orang berurusan di kaunter, selain dapat mengurangkan penggunaan kertas yang dilakukan secara manual.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa dirinya masih belum berpuas hati dengan segala perubahan dan penambahbaikan yang diperkenalkan serta mahu melihat lebih banyak lagi perubahan positif dilaksanakan sekali gus memperbaiki kelemahan dan kelompangan yang masih wujud dalam sektor tersebut.

“Kita tidak boleh berpuas hati lagi kerana proses menambah baik dalam menyediakan persekitaran dan perkhidmatan yang baik untuk rakyat itu adalah berterusan… kita tahu ada kelemahan-kelemahan yang punya ruang untuk diperbaiki dan kita mahu rakyat sendiri merasai dan berpuas hati dengan semua penambahbaikan termasuklah sistem pengangkutan yang efisien dan murah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :