Para perwakilan yang bersemangat hadir pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

AMK desak mansuh PTPTN, beban hutang langkaui 1MDB

AYER KEROH, 6 DIS: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Kerajaan Persekutuan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menggantikan dengan sistem yang lebih baik supaya anak muda tidak terus menanggung beban hutang.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, majoriti dana pinjaman PTPTN yang diberikan kepada instut pengajian tingg swasta (IPTS) sejak 2009 dengan 68 peratus daripada peminjam tersebut masih lagi berpendapatan rendah serta tergolong dalam kategori B40.

Katanya, bebanan tanggungan kerajaan juga terus meningkat dengan penambahan RM2 hingga RM3 bilion yang terkumpul pada setiap tahun.

Katanya, sekiranya hutang PTPTN tidak terus ditangani dengan baik, ia akan meningkat menjadi RM76 bilion dalam masa 20 tahun dari sekarang.

“Sebab itu, sekiranya kita terus mewarisi kaedah lapuk kerajaan Barisan Nasional (BN), nasib anak muda akan terus ditekan dan bebanan hutang yang ditanggung kerajaan boleh melangkaui hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Maka di sini, saya menyeru kepada AMK untuk kita bersama-sama memastikan PTPTN yang ditinggalkan BN dimansuhkan dan digantikan dengan cara yang lebih holistik dan ‘sustainable’ (mampan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 dengan tema Reformasi Dua Dekad, Mengisi Kemenangan Rakyat’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Katanya, AMK perlu terus berperanan sebagai pemudah cara terutamanya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi mahasiswa di samping memperkemas program bank makanan (food bank) bagi mengurangkan beban kos sara hidup di kampus.


Pengarang :