Danish Adham Nuqman Soon yang menerima tujuh pingat emas pada Kejohanan Cef Sedunia 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah pada 13 hingga 15 Disember.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Anak Selangor gondol 17 pingat pada Kejohanan Cef Sedunia

SHAH ALAM, 24 DIS: Anak kelahiran Sungai Buloh, Danish Adham Nuqman Soon, 17, mengejutkan juri apabila merangkul 17 pingat termasuk tujuh emas dalam semua kategori masakan yang dipertandingkan pada Kejohanan Cef Sedunia 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah, baru-baru ini.

Remaja yang sedang menjalani kursus Seni Kulinari di Kolej Vokasional Langkawi itu, merebut tujuh pingat emas termasuk satu pingat Emas Cemerlang, sembilan perak dan satu gangsa menerusi 17 kategori jenis masakan ditandinginya.

Kemenangan anak Selangor itu sekali gus membolehkan Danish meraih piala ‘Outstanding Hot Cooking Chef’ pada kejohanan yang berlangsung pada 13 hingga 15 Disember lalu.

“Tak sangka saya menang dalam semua kategori yang saya masuk. Saya hanya berniat untuk mencari pengalaman memandangkan ini pertandingan antarabangsa.

“Tetapi pada pertandingan ini juri juga terkejut melihat saya berulang-kali naik pentas untuk menerima 17 pingat,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Dengan kemenangan ini, katanya, ia sudah tentu meningkatkan semangatnya untuk mengejar cita-cita bergelar cef selebriti kelak.

Danish berkata, dia mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa, keluarga dan pensyarah serta rakan-rakan.

“Kejayaan ini cukup manis buat saya memandangkan saya antara peserta muda pada kejohanan.

“Saya mula menyertai pertandingan masakan sejak di bangku sekolah. Jadi, saya berpendapat peluang menang pada kejohanan ini hanya 50-50 berikutan pesaing adalah cef hotel serta cef master,” katanya.

Danish memenangi Emas Cemerlang melalui masakan ‘Chicken Chop’, manakala enam lagi pingat emas dikutip menerusi kategori Kuih Nyonya, Nasi Goreng, Char Kuey Teow, Salmon, Ayam Rendang dan ‘Western Breakfast’.

Acara itu menampilkan 81 jenis masakan dan diadili oleh 69 juri profesional dari dalam dan luar negara.


Pengarang :