AGENDANASIONAL

Anggota polis maut dalam kemalangan bas ekspres-kereta

GUA MUSANG, 20 DIS: Seorang anggota polis maut manakala 45 lagi terselamat dalam kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres dan kereta di Jalan Chiku 1-Chiku 2, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah malam itu, mangsa terkorban, Lans Koperal Wahi Anuwar Ibrahim, 51, yang bertugas di Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

Ketika kejadian, mangsa menaiki pacuan empat roda jenis Honda CRV dipercayai cuba mengelak daripada sebuah lori muatan sawit yang diletakkan di bahu kiri jalan akibat rosak.

Berikutan itu, kereta dinaiki mangsa hilang kawalan dan bertembung dengan bas ekspres terbabit yang datang dari laluan bertentangan lalu terhumban ke dalam parit di tepi jalan sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, perlanggaran menyebabkan bahagian hadapan kanan bas ekspres dua tingkat berkenaan mengalami kerosakan teruk, namun semua penumpang dan pemandu dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kesemua penumpang yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan Shah Alam dipindahkan ke bas lain kira-kira jam 3 pagi.


Pengarang :