AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anugerah khas, pingat pada Hari Imigresen 2019

PUTRAJAYA, 1 DIS: Pemberian Anugerah Tokoh Imigresen dan penganugerahan ‘Pingat Setia Berjasa’ Imigresen kepada kakitangannya adalah antara acara istimewa yang diperkenalkan sempena Hari Imigresen 2019 Isnin ini.

Acara itu diadakan buat julung kalinya oleh Jabatan Imigresen, sejak Datuk Khairul Dzaimee Daud dilantik Ketua Pengarah jabatan itu Januari lepas.

Majlis sempena sambutan Hari Imigresen yang akan diadakan di Putrajaya itu akan memperlihatkan tokoh dan pegawai-pegawai imigresen yang telah menabur jasa dan sumbangan daripada pelbagai aspek kepada jabatan selama ini menerima penghargaan daripada jabatan.

Khairul Dzaimee berkata, tambah istimewa sambutan kali ini apabila pemberian Anugerah Tokoh Imigresen kepada seorang tokoh imigresen yang telah memberi sumbangan besar dari segi memodenkan perkhidmatan dan pengurusan hal ehwal jabatan itu.

“Anugerah akan disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebelum ini tidak pernah ada anugerah khas imigresen ini.

“Selain itu, pemberian pingat (Pingat Setia Berjasa) juga akan diberikan kepada beberapa pegawai terpilih yang telah memberikan sumbangan besar dalam membantu meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat dan penugasan operasi imigresen,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pemberian pingat yang dinamakan ‘Pingat Setia Berjasa’ terdiri daripada pingat emas, perak dan gangsa.

Khairul Dzaimee berkata, pemberian pingat itu dilaksanakan sebagai motivasi kepada pegawai dan anggotanya.

“Jabatan tidak mempunyai pingat sebelum ini…oleh itu pemberian pingat boleh menjadi ‘moral booster’ kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota saya.

“Saya tahu bukan semua pegawai awam ini boleh mendapat pingat di luar sana, jadi sekurang-kurangnya di peringkat jabatan mereka ini boleh mendapat pengiktirafan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :