Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan media selepas perasmian Kongres Nasional KEADILAN ke-14 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 7 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar yakin tiada dua kem dalam KEADILAN

MELAKA, 7 DIS: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin tiada perpecahan berlaku dalam parti, sehingga mewujudkan puak menyokong pemimpin tertentu.

“Tiada istilah dua kem, perbezaan pendapat… bagi saya tiada salahnya, tetapi mesti ada satu haluan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional KEADILAN 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Beliau ditanya seolah-olah wujud kem tertentu dalam parti berusia 20 tahun itu sejak akhir-akhir ini.

Anwar mahu pentas kongres tahunan parti menjadi platform kepada semua anggota kembali kepada landasan asal parti iaitu pembangunan rakyat terbanyak dan menyelesaikan kesenjangan (ketidakseimbangan) ekonomi masyarakat.

Katanya, perwakilan, anggota parti dan pemerhati yang hadir mahukan satu penegasan disiplin yang akhirnya akan terus mengukuhkan KEADILAN sebagai komponen dominan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Insya-Allah. Sebab kalau kita lihat dalam (kongres) perwakilan, pemerhati di tepi, saya lihat ‘mood’ kehadiran yang mahu penegasan disiplin, mahu satu wadah,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, sebagai parti dominan pemerintah, KEADILAN akan sentiasa menyokong kerajaan dalam mencari penyelesaian isu yang menjadi kegelisahan rakyat.

Katanya, KEADILAN juga mengutamakan penyelesaian segera isu berkenaan dan berharap konsep Wawasan Kemakmuran Bersama serta pembangunan ekonomi mampan yang dilaksanakan kerajaan berkesan bagi mencari penyelesaian semua isu itu.

“Kami akan menyokong kerajaan. Kami perlu melihatnya secara berbeza… ini adalah cabaran bagi kami, kami perlu melakukan perubahan.

“Saya lebih prihatin tentang penyelesaiannya. Saya telah membuat rujukan kepada rancangan dasar ekonomi baharu yang boleh dilaksanakan. Saya menggesa ke arah suatu semakan semula berkaitan masa, konsep pembangunan, keberkesanan pelaksanaan kami,” katanya.

Terdahulu, Anwar menyampaikan ucapan dasar buat julung kali sebagai Presiden KEADILAN, sekali gus merasmikan kongres yang bertemakan ‘20 Tahun Keadilan: Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’.

– BERNAMA


Pengarang :