Sebahagian peserta Larian Sihat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Hari Rekreasi 2019 Foto: Facebook Komunikasi Korporat PKNS
AGENSISELANGOR

Larian Sihat, Hari Rekreasi PKNS 2019 tarik penyertaan 500 kakitangan

SHAH ALAM, 9 DIS: Larian Sihat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Hari Rekreasi 2019 mendapat sambutan menggalakkan apabila menarik penyertaan kira-kira 500 kakitangan agensi itu, semalam.

Program julung kali itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-55 perbadanan berkenaan membabitkan larian sejauh 5.5 kilometer (km) dan 2.5km.

Naib Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) II PKNS, Azilah Arshad berkata acara berkenaan diwujudkan sebagai usaha menggalakkan kakitangan untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui penyertaan aktif dalam aktiviti fizikal.

“Kita tidak menyangka program ini menerima sambutan menggalakkan dan ini membuktikan kesedaran untuk menjalankan aktiviti sihat semakin mendapat tempat di hati kakitangan PKNS.

“Sememangnya acara seumpama ini mampu memupuk amalan hidup sihat dalam kalangan warga kerja, sekali gus dapat menjadikannya sebagai aktiviti minggu bersama seisi keluarga.

“Justeru, kita berharap acara larian tidak terhenti setakat ini sahaja dan kita akan cuba menganjurkan secara tahunan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar dan Ketua Pegawai Teknikal, Mohamad Sharif Mok Som.

Wang tunai terkumpul sehingga RM700 ditawarkan pada program berkenaan dan setiap peserta berpeluang memenangi hadiah misteri bernilai RM2,500 menerusi cabutan bertuah.

Selain larian, program berkenaan juga menyajikan aktiviti lain antaranya pameran aktiviti pasukan di bawah Unit Sukan dan Rekreasi PKNS seperti Kelab Joran PKNS, Kelab Kembara PKNS dan Kelab Berbasikal PKNS.

 


Pengarang :