Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Azilah Hadri mohon semakan semula sabitan, hukuman mati

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Bekas Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri, yang sedang menunggu hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, memfailkan permohonan semakan semula sabitan dan hukuman mati terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Dalam permohonan yang difailkan awal bulan ini di Mahkamah Persekutuan, Azilah, 42, antara lain memohon supaya diadakan perbicaraan semula di mahkamah terbuka.

Azilah turut memfailkan afidavit dan akuan berkanun (SD) untuk menyokong permohonannya.

Mahkamah menetapkan esok bagi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menolak pembebasan Azilah dan seorang lagi anggota UTK berhubung pembunuhan Altantuya, dan menjatuhi hukuman mati mandatori.

Mahkamah itu turut mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka berdua.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel hakim pada masa itu, turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Sirul Azhar, kerana tidak hadir di mahkamah.

Sirul Azhar, 47, berada di dalam sebuah pusat tahanan di Australia sejak beberapa tahun lepas setelah dia melarikan diri ke negara itu pada 2014 semasa dalam jaminan.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi hari berikutnya pada 2006.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013, membenarkan rayuan yang dikemukakan kedua-dua anggota polis komando itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh wanita itu dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 55, yang didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008, selepas membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan itu.

Terdahulu pada hari ini, portal berita Malaysiakini menyiarkan laporan yang menyatakan Azilah telah membuat Akuan Berkanun (SD) dengan mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang pada masa kejadian merupakan timbalan perdana menteri.

Malaysiakini turut menyiarkan respons Najib bahawa dakwaan Azilah itu sengaja diada-adakan.

Sementara itu, Ramkarpal Singh, peguam yang mewakili keluarga Altantuya dalam saman sivil berhubung pembunuhannya, mengeluarkan kenyataan yang menyebut mereka akan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk menjadi peguam pemerhati dalam permohonan semakan itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut menggesa polis supaya membuka siasatan terhadap dakwaan yang dibuat bekas cif inspektor polis itu.

Di SHAH ALAM, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, ketika ditanya tentang perkara itu pada sidang akhbar di ibu pejabat polis Kontinjen Selangor berkata polis perlu melihat SD itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Kami belum melihatnya (SD) lagi… melainkan anda membawa SD itu kepada kami. Kami akan melihatnya terlebih dahulu dan membuat keputusan selepas itu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :