Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan perasmian sempena Kongres KEADILAN Nasional berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Ambil iktibar Chile gagal agih ekonomi

AYER KEROH, 5 DIS: Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kejatuhan ekonomi Chile yang pernah diiktiraf sebagai antara ekonomi paling maju, kadar pertumbuhan tinggi dan mempunyai potensi memberangsangkan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kegagalan mengagihkan kekayaan dengan saksama dan membiarkan kesenjangan sosial terus melebar telah menyebabkan banyak negara dilanda krisis kian parah.

Sedar mengenai perkara itu katanya, Kerajaan Persekutuan telah menggubal Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai satu iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil untuk semua rakyat.

“Ikhtiar ini akan memacu transisi ekonomi negara ke arah yang lebih progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.

“WKB 2030 akan memperbetulkan ketempangan dan ketidakseimbangan sosial dalam masyarakat bagi merapatkan jurang antara kelas pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda dan Wanita KEADILAN 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

WKB 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi paksi dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Malaysia Ke-13 sebagai kerangka pembangunan jangka panjang negara.

Katanya, wawasan itu mampu dijayakan apabila semua rakyat bersama-sama mendukung hasrat berkenaan.

“Maka, tanggungjawab saudara-saudari sekalian adalah untuk menggembleng dukungan rakyat dan membina Malaysia yang rancak ekonominya, kaya budayanya dan makmur dengan keadilan sosial. Inilah yang kita maksudkan dengan Malaysia Baharu.

“Rakyat dan Kerajaan perlu berganding bahu supaya kemakmuran negara ini dapat dinikmati oleh orang Ulu di Ba’kelalan, orang Jawa di Parit Bunian, Pontian, suku Temiar di Kampung Tohoi, Gua Musang, orang India di estet Bukit Cherakah dan orang Cina di Tanjung Piai,” katanya.


Pengarang :