AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Azmin gesa rakyat Malaysia tolak ketaksuban, ekstremisme

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa rakyat Malaysia untuk menolak ketaksuban, ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi.

Dalam perutusan Hari Krismas beliau hari ini, Mohamed Azmin berkata setiap individu perlu menyemai semangat persefahaman, kesederhanaan dan saling menghormati kerana keharmonian yang dinikmati hari ini adalah hasil belas ihsan, toleransi dan saling memahami dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh meremehkan sumbangan penganut Kristian ke arah keamanan, keharmonian, kemakmuran dan pembinaan negara. Saya ingin mengambil kesempatan ini, menyeru semua rakyat Malaysia untuk sama-sama meraikan perayaan Krismas,” katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada penganut Kristian, beliau berkata Krismas adalah musim yang membawa kegembiraan dan rahmat serta masa untuk seseorang ‘memberi’ dan memaafkan.

“Saya harap anda dan keluarga anda akan diberkati pada Krismas ini. Semoga rumah anda dipenuhi kegembiraan dan keharmonian,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :