AGENDANASIONAL

Balu tahanan mati dalam lokap menang saman RM440,200

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Balu kepada N. Dharmendran, tahanan yang mati dalam lokap polis enam tahun lalu, hari ini memperoleh ganti rugi berjumlah RM440,200 selepas menang dalam samannya terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang membenarkan saman dikemukakan Marry Mariay Susay selaku plaintif terhadap 11 defendan iaitu Inspektor S. Hare Krishnan, Sarjan Jaffri Jaffar, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, selaku defendan pertama hingga keempat.

Defendan kelima hingga kelapan ialah Ketua Polis Negara, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah, empat lagi pegawai tertinggi PDRM ketika itu, Datuk Seri Mohmad Salleh, A/ACP Yahya Abd Rahman, A/SAC Khairi Ahrasa dan Supt Glenn Anthony Sinappiah serta Kerajaan Malaysia.

Hakim Ahmad Zaidi memerintahkan kesemua defendan membayar ganti rugi am RM150,000 untuk kesakitan dan penderitaan dialami oleh mendiang Dharmendran, ganti rugi teladan RM100,000, ganti rugi untuk salah laku pegawai awam RM50,000, ganti rugi bagi kehilangan pendapatan RM126,000, ganti rugi khas berjumlah RM14,200 untuk kesedihan, pengkebumian dan perbelanjaan lain.

“Mahkamah juga memerintahkan semua defendan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada plaintif,” katanya.

Hakim itu di dalam penghakimannya berkata keterangan daripada pakar bedah iaitu Dr Siew Shue Feng mendapati terdapat 52 kecederaan yang jelas pada tubuh badan mangsa (Dharmendran) termasuk kesan ‘staple’ pada bahagian belakang telinga dan kecederaan dalaman.

“Rumusan pakar bedah itu mendapati kecederaan dialami mendiang akibat penggunaan senjata tumpul dan beliau (pakar bedah) merumuskan bahawa mendiang meninggal dunia akibat kecederaan itu,” katanya.

Hakim Ahmad Zaidi berkata, saksi plaintif keenam (SP6), M. Balachantar yang turut berada di dalam lokap bersama mendiang ketika disoal siasat empat anggota polis dalam keterangannya memberitahu bahawa selain dipukul, saksi itu juga dipaksa makan cili padi.

“Walaupun matanya (Balachantar) ditutup, dia (SP6) dapat dengar soalan diajukan kepada suspek lain dan dengar suara si mati menjerit kesakitan. SP6 berkata akibat daripada tindakan dilakukan oleh empat anggota polis itu, dia sampai terkencing.

“Selepas disoal siasat, SP6 dibawa ke lokap dan dia mendapati mendiang yang turut berada di sana (lokap) terberak. SP6 juga memaklumkan dia bersama tahanan lain membersihkan najis si mati,” kata hakim itu.

Hakim Ahmad Zaidi juga berkata mahkamah mendapati keterangan keempat-empat anggota polis adalah rekaan dan menunjukkan elemen alibi yang bercanggah dengan keterangan lain berikutan mereka menafikan terlibat dalam serangan sentuh dan menyebabkan kecederaan pada mendiang.

“Mereka menyatakan diari lokap menunjukkan pada tarikh kejadian, mereka tidak mungkin melakukan serangan sentuh kerana ketika itu mereka berada di luar untuk melakukan serbuan di sebuah kelab.

“Setelah meneliti dan menimbang keterangan kedua-dua pihak, mahkamah menerima keterangan saksi plaintif sebagai keterangan yang benar berbanding saksi defendan. Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah mendapati keempat-empat anggota polis itu melakukan serangan sentuh dan menyebabkan kematian mendiang.

“Pihak plaintif juga membuktikan bahawa defendan kelima hingga kelapan berpakat untuk menyokong rakan sejawat mereka bagi menimbulkan pembelaan yang tidak benar,” katanya.

Marry, 32, memfailkan saman itu pada 20 Mei 2016 selepas mendakwa defendan dengan sengaja melakukan serangan dan serang sentuh ke atas Dharmendran semasa berada dalam tahanan polis sehingga menyebabkan kematiannya.

Dalam penyataan tuntutan, wanita itu mendakwa kematian suaminya disebabkan keingkaran tanggungjawab statutori mengikut Seksyen 3(3) dan 20 Akta Polis 1967 oleh defendan.

Marry berkata suaminya mempunyai pendapatan RM1,700 dan kematian mengejutnya itu mengakibatkan beliau mengalami kehilangan, kerugian, penderitaan mental dan duka yang melampau.

Dharmendran ketika itu berusia 34 tahun ditahan kerana disyaki cuba membunuh dengan menggunakan senjata api.

Pada 28 April 2016, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Dharmendran, mendapati kematiannya pada 21 Mei 2013 adalah akibat daripada penggunaan kekerasan fizikal oleh pihak polis.

Bagaimanapun, pada 24 Oktober lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan pembebasan Hare Krishnan, 44, Jaffri, 48, Mohd Nahar, 49, dan Mohd Haswadi, 36, daripada tuduhan membunuh Dharmendran, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, IPKKL di Jalan Hang Tuah antara 18 hingga 21 Mei 2013.

Sementara itu, peguam N. Surendran ketika ditemui pemberita berkata beliau gembira dengan keputusan yang berpihak kepada anak guamnya, yang tidak dapat hadir dalam prosiding hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :