PENDAPATRENCANA

Bangunkan potensi remaja tangkis gejala sosial

Oleh Mohamad Rizan Hassan

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Peristiwa kematian lapan remaja berbasikal lajak akibat dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian pukul 3 pagi di Johor Baharu, pada 18 Februari 2017, masih segar dalam ingatan, lebih-lebih lagi keluarga mangsa.

Meskipun sudah dua tahun berlalu, tragedi hitam itu masih mengundang perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat.

Namun, rata-rata aktivis sosial berpandangan bahawa semua pihak perlu serius dan fokus terhadap urusan merancang kehidupan dan pembangunan generasi muda hari ini.

Sama ada suka atau pun tidak, sehingga kini, usaha memandu generasi muda ke hadapan dengan cara meningkatkan kebolehan serta daya fikiran mereka dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan, masih belum mencapai tahap yang terbaik seiring dengan kemajuan negara.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang diharap dapat melahirkan watak masyarakat Malaysia yang lebih bertanggungjawab hanya akan tercapai dan memberi makna apabila golongan muda diberi perhatian dan keutamaan dalam pelbagai aspek perancangan kehidupan dan pembangunan mereka.

Bagaimanapun, anak-anak remaja kita masih berdepan cabaran dan penyakit sosial dalam pelbagai bentuk seperti aktiviti lumba haram motosikal, basikal lajak, kehamilan luar nikah, penyalahgunaan dadah dan perbuatan yang melanggar tatasusila budaya timur kita.

Namun, sekadar mengetahui tentang masalah sosial remaja tidak mencukupi, bahkan tidak berguna sekiranya ia tidak disusuli dengan kaedah penyelesaian dan pencegahan.

Hakikatnya, setiap individu mempunyai pilihan dan pilihan terbaik perlu dibuat untuk diri sendiri dan keluarga dengan membina benteng diri serta menjauhi daripada terpengaruh dengan unsur-unsur negatif.

Kemajuan dan pemodenan zaman membawa banyak perubahan dalam kehidupan harian kita terutama dengan kecanggihan teknologi seperti teknologi maklumat dan penduduk yang sentiasa ‘bergerak’.

Para remaja pula merupakan golongan yang amat mudah dipengaruhi oleh unsur negatif kerana sifat semula jadi remaja yang sedang mencari identiti diri, mudah terikut dengan cara budaya moden, sentiasa diselubungi dengan sifat `ingin tahu, ingin mencuba, dan berani menghadapi risiko’.

Pengaruh positif pula agak lambat untuk menambat hati remaja kerana ia lebih menekankan disiplin, kerajinan, ketahanan diri dan hanya akan mendapat hasil dan faedah setelah berusaha dengan gigih, tekun dan sabar.

Maka, menyedari pentingnya untuk membentuk sikap dan nilai positif dalam kalangan remaja, golongan dewasa dan rakan sebaya seharusnya bersedia memberi dorongan dan bimbingan berterusan untuk membangunkan remaja yang sihat dan cemerlang.

Bagi tujuan ini, Dialog Profesion Kerja Sosial bertajuk Kerja Sosial: Realiti atau Fantasi anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Persatuan Pekerja Sosial Malaysia pada 31 Oktober lalu menghimpunkan para pekerja sosial dan sukarelawan sosial di lapangan.

Melalui inisiatif ini, ia diharap akan melahirkan modul pembangunan remaja yang direka khusus dengan matlamat memberi peluang dan dorongan kepada remaja untuk membangunkan sepenuhnya potensi diri meliputi perspektif mental, fizikal, sosial dan kerohanian.

Alam remaja merupakan tahap kritikal dalam proses perkembangan individu yang penuh dengan pelbagai dugaan dan pancaroba. Inilah masa untuk remaja membentuk sifat kendiri serta menentukan watak dan cara hidup mereka berasaskan didikan dan jagaan ibu bapa, pengalaman dan suasana persekitaran.

Andainya remaja tidak kuat dalam pegangan nilai-nilai murni dan agama serta kurangnya bimbingan keluarga dan guru, mereka pasti mudah hanyut dengan penyakit sosial yang sentiasa menunggu mangsanya.

Namun, dalam usaha kita mencari punca dan sebab berlakunya gejala sosial, beberapa pihak akan dipersalahkan — antaranya ibu bapa, sekolah, media atau pun remaja sendiri.

Hakikatnya, banyak isu dan masalah yang dihadapi remaja hari ini mempunyai perkaitan rapat antara pengaruh dalaman iaitu keluarga itu sendiri dan pengaruh luaran. Sikap toleransi, persefahaman serta komunikasi terbuka di antara ibu bapa dan anak-anak mereka banyak mempengaruhi perkembangan diri remaja.

Walaupun ibu bapa sibuk dengan mencari nafkah tetapi tanggungjawab terhadap keluarga perlu diutamakan. Memahami perasaan, menjaga emosi dan menjalinkan kasih sayang adalah nilai murni untuk membentuk remaja yang seimbang dan penyayang.

Anak remaja hari ini perlu dibimbing dengan pendekatan baharu bagi membolehkan mereka memahami diri sendiri, membentuk watak, keyakinan diri dan benteng diri untuk menjauhi pengaruh dan penyakit sosial.

Semua remaja diseru untuk membuat pilihan bijak dan menjadi contoh atau model peranan kepada rakan sebaya.

Justeru, modul bimbingan perlulah menjadikan program dan aktiviti yang ada untuk memajukan diri dan yakinlah bahawa setiap remaja ada keupayaan serta kemampuan untuk merubah nasib sendiri.

Majukan bakat remaja yang terpendam untuk kecemerlangan dalam setiap aspek kehidupan mereka.

Justeru, tibalah masanya bagi setiap lapisan masyarakat bekerjasama berganding bahu dalam mencari strategi yang paling berkesan untuk penyelesaian dan pencegahan gejala sosial dalam kalangan remaja.

Seruan jihad perjuangan ini merangkumi semua pihak — ibu bapa, sekolah, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta sektor swasta untuk bersama-sama bertindak dalam apa juga bentuk yang boleh menghasilkan kebaikan.

Ayuh kita laksanakan peranan kecil ini agar sama-sama kita dapat melakukan perubahan demi kebaikan bersama.

Usaha bersama ini mengharapkan agar remaja akan berasa bangga dengan kemampuan diri sendiri dengan sentiasa menjadikan kekuatan dalam diri sebagai benteng untuk menangkis segala dugaan dan cabaran yang boleh merosakkan diri sendiri.

Jadikanlah segala gejala sosial negatif sebagai cabaran dan sempadan. Gunakanlah usia muda ini dengan penuh bijaksana dan hikmah untuk mencapai kecemerlangan diri.

Dengan amalan hidup positif lagi sederhana dalam setiap aspek kehidupan, remaja akan mampu membawa negara ke abad dan iltizam baharu.

*Penulis adalah Tokoh Belia Negara 2011/Asean 2011 dan aktivis sosial membantu belia berisiko.

-BERNAMA


Pengarang :