AGENDANASIONAL

Banjir: 93 pusat pemindahan sementara dibuka – NADMA

PUTRAJAYA, 18 DIS: Sebanyak 93 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak bagi menempatkan 2,345 keluarga melibatkan 8,011 mangsa banjir setakat 12 tengah hari tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata jumlah tersebut meningkat berbanding pada jam 8 pagi tadi iaitu sebanyak 76 PPS melibatkan 1,743 keluarga terdiri daripada 6,454 orang mangsa.

Penambahan ini berlaku disebabkan Kelantan dilanda banjir, menurut NADMA dalam kenyataan hari ini.

Menurut agensi itu di Kelantan, lima daerah telah dilanda banjir iaitu Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli melibatkan 2,333 buah keluarga terdiri daripada 7,961 mangsa.

Manakala di Johor, enam daerah iaitu Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Batu Pahat dan Pontian turut dilanda banjir melibatkan 1,404 keluarga terdiri daripada 5,150 mangsa.

“Tiga daerah di Pahang turut dilanda banjir iaitu Rompin, Temerloh dan Bera di mana 276 keluarga telah terkesan dengan banjir ini yang melibatkan 1,071 orang mangsa sementara dua buah daerah di Sarawak iaitu Marudi dan Sri Aman (kejadian tanah runtuh) telah terjejas oleh bencana ini melibatkan 14 buah keluarga dan 59 orang mangsa,” katanya.

Menurut NADMA trend peningkatan dan penurunan mangsa banjir di setiap PPS bergantung kepada keadaan cuaca setempat dan pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah/Negeri sentiasa memantau dan siap siaga dengan sebarang kemungkinan perubahan cuaca yang disalurkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menunjukkan soladariti menunaikan tanggungjawab sosial bersama agensi kerajaan menghulur sumbangan dan bantuan di daerah-daerah yang dilanda musibah banjir ini.” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :