AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banjir di Johor ragut nyawa seorang remaja lelaki

KLUANG, 17 DIS: Bencana banjir yang melanda Johor sejak 14 Disember lepas meragut nyawa mangsa pertama apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun lemas setelah tergelincir dan terjatuh ke dalam parit di hadapan sebuah rumah di Kampung Parit Haji Salam, Simpang Renggam, dekat sini, kira-kira pukul 2 petang ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata Mohd Denis Irfan sebelum itu dikatakan bersama-sama saudara dan rakannya meninjau keadaan rumah yang telah dinaiki air.

Katanya ketika melintasi jejantas di hadapan sebuah rumah, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ibrahim Majid itu tergelincir sebelum terjatuh ke dalam parit.

“Akibat terjatuh ke dalam parit, mangsa berkenaan lemas apabila gagal diselamatkan oleh saudara serta dua rakannya yang turut berada di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati keadaan air yang keruh membuatkan mangsa tidak dapat melihat dengan jelas jejantas yang dibina untuk menuju ke rumah berkenaan,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jelas Mohd Abduh, mayat mangsa ditemui oleh orang kampung 10 minit kemudian berhampiran dengan lokasi kejadian dan dibawa ke Balai Polis Simpang Renggam sebelum dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang, untuk proses dokumentasi dan bedah siasat.

“Kami sahkan kejadian ini merupakan kematian pertama membabitkan bencana banjir di daerah ini yang bermula pada 14 Dis lepas. Polis menasihatkan orang ramai supaya mengawal anak di musim banjir ini agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, kerja menyelamat mangsa turut membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam.

-BERNAMA


Pengarang :