AGENDANASIONAL

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya

KOTA BHARU, 9 DIS: Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya selepas 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak minggu lalu, ditutup 12.30 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup berkata ia berikutan keadaan cuaca yang bertambah baik tanpa hujan di semua jajahan di negeri ini.

“Kesemua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS yang kebanyakannya beroperasi di bangunan sekolah telah dibenarkan pulang tengah hari tadi.

“Alhamdulillah, semua aktiviti penempatan mangsa banjir berjalan lancar dan semua bekalan makanan mencukupi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kira-kira 300 kakitangan ditempatkan di semua PPS terlibat bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga terutama membabitkan aspek penyediaan makanan.

Katanya JKM akan membuat pembelian tambahan bekalan makanan banjir dalam masa terdekat sebagai persiapan menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku pada 25 Disember ini.

“Sebahagian makanan kering dan dalam tin berkurangan selepas digunakan dalam banjir gelombang pertama, jadi kita akan buat pembelian baharu menggunakan peruntukan lebih RM200,000 yang disalurkan kerajaan negeri dalam terdekat selain pembelian barangan basah apabila banjir berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Said turut menasihatkan orang ramai supaya segera berpindah jika diarah berbuat demikian selain menjaga dokumen penting dengan baik serta menjaga kebersihan ketika di PPS.

Beliau berkata kerjasama mangsa banjir di PPS amat diperlukan terutama penjagaan kebersihan tandas dan persekitaran kerana sekolah yang dijadikan PPS akan digunakan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka semula awal tahun depan.

Untuk rekod, Pasir Mas adalah jajahan paling teruk dilanda banjir di Kelantan diikuti Tumpat selepas paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas melebihi paras bahaya sehingga 10.61 meter berbanding paras bahaya sembilan meter.

-BERNAMA


Pengarang :