Kenderaan terpaksa mengharungi banjir untuk ke Rantau Panjang berikutan limpahan air Sungai Golok ketika tinjauan Bernama pada 3 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Kelantan semakin pulih

KOTA BHARU, 9 DIS: Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih dengan hanya tinggal 66 mangsa banjir daripada 20 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 297 orang daripada 83 buah keluarga pada petang semalam.

Berdasarkan Aplikasi InfoBencanaJKM, dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong di Pasir Mas dengan 50 mangsa (18 keluarga) dan SK Pengkalan Kubor 2, Tumpat dengan 16 mangsa (dua keluarga).

Maklumat dalam publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras berjaga-jaga iaitu 7.75 meter (berjaga-jaga 7 meter) manakala semua sungai lain berada pada paras normal.

Cuaca pagi ini mendung dengan sesekali hujan sederhana lebat.

Setakat ini tiga mangsa terkorban akibat banjir di Kelantan.

Di JOHOR BAHRU, jumlah mangsa banjir yang berada di PPS di Kota Tinggi kekal 19 orang daripada lima keluarga, setakat 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata mereka daripada Kampung Baharu, Kampung Changi dan Kampung Jumis Bukit Raja di Teluk Ramunia yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia yang dibuka sejak jam 2.30 petang semalam.

-BERNAMA


Pengarang :