Penduduk Kampung Nyatoh menggunakan sampan membawa barangan keperluan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Nyatoh setelah kediaman mereka mula ditenggelami air pada 1 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Terengganu memburuk

SETIU, 2 DIS: Keadaan banjir di Kuala Terengganu semakin buruk dengan peningkatan mendadak mangsa kepada 5,807 orang daripada 1,719 keluarga berbanding 2,387 orang (650 keluarga) malam tadi.

Sebanyak 55 PPS baharu terpaksa dibuka di tujuh daerah awal pagi ini menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ketika ini ialah di 121 lokasi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata Besut iaitu daerah paling teruk terjejas terus merekod peningkatan jumlah mangsa kepada 1,787 orang (484 keluarga) di 45 PPS berbanding 1,312 orang (345 keluarga) di 31 PPS malam tadi.

“Banjir di Hulu Terengganu juga semakin buruk dengan pembukaan 18 PPS baharu yang menempatkan 1,751 mangsa (553 keluarga) berbanding 296 mangsa (94 keluarga) di 15 PPS malam tadi. Sebanyak 33 PPS beroperasi di daerah itu ketika ini.

“Di Setiu pula, jumlah mangsa turut merekod peningkatan ketara kepada 1,691 orang (523 keluarga) di 28 PPS berbanding hanya 296 orang (94 keluarga) di 15 PPS malam tadi,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan lima sungai di tiga daerah telah melepasi paras bahaya setakat pukul 7.00 pagi ini.

Dua sungai itu terletak di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap merekod bacaan 22.91 meter (m) melepasi paras bahaya 21m dan Sungai Setiu di Kampung Besut pula setinggi 17.65m (bahaya 17.5m).

Dua sungai di Hulu Terengganu juga melepasi paras bahaya iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong setinggi 24.56m (bahaya 24.5m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping yang mencatat bacaan 21.38m (bahaya 19.7m).

Selain itu, Sungai Besut di Kampung La pula merekod bacaan 24.13m (bahaya 21.8m).

Di Pahang, keadaan banjir tidak berubah pagi ini, dengan tiga mangsa yang masih ditempatkan di PPS di Rompin, dekat sini.

-BERNAMA


Pengarang :